Bajet 2023: PKS punyai pandangan berbeza-beza mengenai inisiatif

Bajet 2023: PKS punyai pandangan berbeza-beza mengenai inisiatif

Sebuah kumpulan yang mewakili PKS tidak melihat banyak manfaat bagi mereka, sementara persatuan lain memilih untuk melihat sisi positifnya.

Pengerusi Samenta William Ng berkata, walaupun sebahagian besar inisiatif bawah Bajet 2023 tertumpu kepada perusahaan mikro, terdapat beberapa manfaat untuk PKS juga.
PETALING JAYA:
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai Bajet 2023.

Sebuah kumpulan yang mewakili PKS tidak melihat banyak manfaat bagi mereka dalam belanjawan persekutuan yang dibentangkan semalam, sementara persatuan lain memilih untuk melihat sisi positifnya.

Persatuan PKS Malaysia berkata, walaupun terdapat inisiatif yang akan memberikan manfaat kepada golongan B40 dan M40, namun tidak banyak bagi PKS.

Setiausaha Agungnya, Chin Chee Seong berkata, sedikit inisiatif yang ditujukan kepada komuniti perniagaan kebanyakannya adalah untuk perusahaan mikro.

“Kerajaan memberikan insentif kepada kumpulan ini dengan harapan mereka akan merangsang ekonomi, tetapi kami tidak dapat melihat bagaimana ini boleh membantu pemulihan ekonomi secara keseluruhan dan bagaimana ia akan menyokong PKS,” katanya.

Chin berkata, walaupun penurunan 2% dalam cukai pendapatan akan memberikan sedikit penjimatan, keuntungan itu akan kemudiannya terbatal dengan kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih tinggi dan peningkatan inflasi.

Beliau berkata, walaupun beberapa inisiatif disasarkan kepada sektor terjejas seperti pelancongan, namun tiada bantuan segera diberikan kepada usahawan dalam sektor tersebut.

Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan bagaimana RM10 bilion untuk automasi dan pendigitalan PKS akan dibelanjakan.

“Kami masih belum melihat butirannya, dan bagaimana pelaksanaan sebenarnya,” kata Chin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng berkata, walaupun sebahagian besar inisiatif itu tertumpu kepada perusahaan mikro, terdapat beberapa manfaat untuk PKS juga.

Beliau menyebut pemberian geran RM1,000, pengurangan kadar cukai dan kemudahan pembiayaan melalui Semarak Niaga sebagai contoh.

“Kami berasa positif bahawa kecairan keseluruhan yang akan diterima oleh PKS, serta peruntukan bagi automasi dan pendigitalan akan membantu menyokong pemulihan PKS dalam era pasca wabak,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.