Pengecualian cukai makmur bagus untuk pasaran modal, kata pengerusi Bursa

Pengecualian cukai makmur bagus untuk pasaran modal, kata pengerusi Bursa

Penganalisis sepakat pendapatan sesaham akan tumbuh pada kadar 11.5% pada 2023 tanpa cukai makmur.

Tanpa cukai itu penganalisis sepakat EPS akan tumbuh pada kadar 11.5% pada 2023, berbanding pengecutan 1.1% tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan untuk mengecualikan pasaran modal daripada cukai makmur dalam Belanjawan 2023 merupakan langkah positif, kata Pengerusi Bursa Malaysia Securities, Wahid Omar.

“Jika tidak, ia berpotensi mengurangkan ramalan EPS (pendapatan sesaham) FBM KLCI 2023 sebanyak 5% hingga 6%,” katanya.

Beliau menambah tanpa cukai itu, para penganalisis sepakat EPS akan tumbuh pada kadar 11.5% pada 2023, berbanding pengecutan 1.1% tahun ini.

“Belanjawan baharu ini selaras tema ‘responsif, bertanggungjawab, dan reformis’.

“Saya sukacita menteri kewangan kekal komited kepada kemapanan kewangan jangka masa panjang dan membina ketahanan Malaysia untuk menghadapi sebarang krisis pada masa depan,” katanya.

“Ini petanda baik untuk pasaran modal,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Awang Adek Hussin berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan beberapa langkah penting untuk pasaran modal.

Katanya, RM30 juta yang diperuntukan kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) akan menyokong keperluan pembiayaan dan memangkin pertumbuhan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana.

“Langkah-langkah bertujuan menggalakkan pertumbuhan pembiayaan alternatif untuk syarikat akan menyediakan penyelesaian baharu untuk membantu pemulihan mereka, yang telah ketinggalan berbanding ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Awang Adek berkata kerjasama awam-swasta oleh kementerian dengan kerjasama suruhanjaya untuk menyediakan program berstruktur untuk wanita akan membantu meluaskan kumpulan bakat.

Beliau menambah ia akan membantu melahirkan lebih banyak individu berkelayakan dan berpengalaman untuk saf kepimpinan, termasuk pengarah lembaga syarikat.

Awang Adek berkata program siswazah berbakat yang akan diperkenalkan boleh membantu melahirkan bakat-bakat berkemahiran untuk pasaran modal.

“Ini akan menyumbang kepada pembangunan negara dan menangani kekurangan individu berbakat,” katanya.

“Kekurangan individu berbakat merupakan fenomena sejagat yang akan memberi impak kepada trajektori pertumbuhan ekonomi serata dunia,” katanya.

“Oleh itu, adalah wajar Belanjawan 2023 mengutamakan peningkatan kumpulan bakat merentasi sektor ekonomi,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.