
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, jumlah hutang 1MDB telah berkurang kepada RM25.9 bilion setelah mengambil kira pembayaran obligasi hutang 1MDB Energy Ltd pada Mei 2022.
Inisiatif kerajaan bagi mendapatkan semula aset 1MDB melibatkan langkah penyiasatan bersepadu yang terperinci, rundingan dan proses perundangan, katanya.
Menurut kementerian, sebanyak RM19.3 bilion telah berjaya diperoleh sehingga akhir Jun 2022.
Katanya aset yang berjaya diperoleh semula termasuk aset fizikal dan wang sitaan serta bayaran penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, terimaan penyelesaian daripada institusi kewangan dan firma pengauditan serta perolehan kembali aset tunai yang dibekukan daripada individu dan syarikat.
“Aset yang diterima semula ini telah dimasukkan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset dan digunakan untuk membayar obligasi kewangan dan hutang 1MDB. Baki Akaun Amanah berjumlah RM8.8 bilion pada akhir Jun 2022 akan digunakan untuk menyelesaikan bon 1MDB Energy (Langat) Ltd pada Oktober 2022,” katanya.
Selain itu, bekas pengatur terbitan bon 1MDB iaitu Goldman Sachs juga telah bersetuju dengan penyelesaian berjumlah USD2.5 bilion (USD1=RM4.63) dan memberi jaminan untuk membantu kerajaan mendapatkan semula aset yang dianggarkan bernilai USD1.4 bilion.