Bersatu gesa kerajaan tumpu persediaan hadapi musim monsun

Bersatu gesa kerajaan tumpu persediaan hadapi musim monsun

Setiausaha agungnya Hamzah Zainudin berkata gesaan itu dibuat susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semalam yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata parti itu akan melancarkan Skuad Prihatin Bersatu pada 10 Okt bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu menggesa kerajaan memberikan tumpuan dan keutamaan sepenuhnya terhadap persediaan bagi menghadapi fenomena monsun timur laut, kata setiausaha agungnya, Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, gesaan itu dibuat susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semalam yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Hamzah memaklumkan Bersatu akan membantu mangsa banjir di seluruh negara melalui Skuad Prihatin Bersatu yang akan dilancarkan pada 10 Okt ini sempena Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Pahang.

Katanya, skuad akan diketuai oleh Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Abdullah.

“Kekuatan skuad ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terbela sebelum, semasa dan selepas banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut memaklumkan mesyuarat semalam turut membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Semalam, 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu menolak PRU15 diadakan tahun ini.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin dengan berkata menteri gabungan itu berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting perlu diberikan tumpuan, ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.