Tiada satu sen pun daripada RM1 juta untuk kepentingan Syed Saddiq, mahkamah diberitahu

Tiada satu sen pun daripada RM1 juta untuk kepentingan Syed Saddiq, mahkamah diberitahu

Peguam Gobind Singh Deo berkata sebahagian wang itu digunakan untuk aktiviti kebajikan Pemuda Bersatu.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dituduh menyeleweng dana milik Bersatu berjumlah RM1.12 juta.
KUALA LUMPUR:
Peguambela dalam kes pecah amanah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi, bekas menteri belia dan sukan itu tidak menggunakan walau satu sen pun daripada wang RM1 juta milik Bersatu bagi kepentingan peribadinya.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, RM463,700 daripada jumlah itu dibelanjakan untuk aktiviti kebajikan sayap Pemuda Bersatu, ketika wabak Covid-19 melanda dua tahun lalu.

Katanya, perbelanjaan itu tidak melanggar perlembagaan Bersatu yang menetapkan kebenaran pemimpin tertinggi parti hanya diperlukan untuk perbelanjaan melebihi RM500,000.

“(Hakim Razali) memberitahu mahkamah RM600,000 dirampas (oleh pihak berkuasa) manakala kurang RM500,000 dibelanjakan,” kata Gobind ketika penggulungan di akhir kes pendakwaan.

Pembantu bendahari Pemuda Bersatu itu yang turut dikenali sebagai Rafiq, adalah saksi utama pendakwaan.

Gobind juga memberitahu, Rafiq memberi bukti bercanggah terhadap sama ada Syed Saddiq mengarahkannya “melupuskan” RM1 juta yang disimpan Rafiq selepas sejumlah wang dilaporkan hilang dari rumah Syed Saddiq.

“Rafiq memberitahu dia tidak dapat mengingati tertuduh (Syed Saddiq) dengan jelas mengarahkan untuk ‘melupuskan’ wang berkenaan.

“Dia akhirnya mengakui menggunakan ayat ‘melupuskan’ hanya berdasarkan pemahamannya sahaja,” kata Gobind.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, arahan Syed Saddiq supaya Rafiq mengeluarkan wang RM1 juta dari akaun sayap pemuda itu menunjukkan satu niat tidak baik tertuduh.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Rafiq dan bekas timbalan setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi pergi ke cawangan CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020 untuk mengeluarkan wang RM1 juta dari akaun sayap pemuda itu.

Rafiq berkata, pengeluaran itu adalah atas arahan Syed Saddiq.

“Dia (Syed Saddiq) pernah berkata wang RM1 juta itu adalah ‘hasil titik peluhnya'”.

“Bagaimanapun, Rafiq dan Redzuan berkata, wang itu adalah milik semua ahli Pemuda Bersatu bukannya milik tertuduh seorang,” kata Wan Shaharuddin.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid menetapkan 28 Okt sebagai tarikh keputusan sama ada Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar perlu membela diri atau tidak atas tuduhan berkenaan.

Presiden Muda itu berdepan empat tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Dia didakwa menyeleweng dana berjumlah RM1.12 juta milik Bersatu.

Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan sebahagian dana parti untuk pilihan raya umum 2018, manakala RM1 juta didakwa dikeluarkan tanpa kebenaran pemimpin tertinggi parti.

Syed Saddiq juga mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.