PM tiba untuk hadap Agong

PM tiba untuk hadap Agong

Spekulasi bertiup kencang bahawa Ismail Sabri Yaakob akan mencadangkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara kira-kira 3.50 petang.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tiba untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Perdana menteri tiba kira-kira 3.50 petang dan sempat melambaikan kepada petugas media yang berkumpul di sana sejak tengah hari tadi.

Ismail dijangka memberi taklimat kepada Agong berhubung Bajet 2023 dan agenda mesyuarat Kabinet pada esok.

Bagaimanapun, timbul spekulasi Ismail akan mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Agong bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ismail meninggalkan Istana Negara kira-kira 4.45 petang.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin hari ini mengesahkan 12 menteri Kabinet Perikatan Nasional mengutus surat kepada baginda supaya mempertimbangkan untuk menolak PRU15 diadakan tahun ini, sekiranya perkara itu dipersembahkan.

Pembangkang turut membantah PRU15 diadakan tahun ini susulan kebimbangan bencana banjir akibat peralihan monsun timur laut yang dijangka berlaku pertengahan November sehingga Mac 2023.

Terdahulu, Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran di Ampang, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.