
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sehingga kini kerajaan menganggap tuntutan dibuat senator terbabit tidak lebih “menangguk di air keruh” bagi mengambil kesempatan demi kepentingan politik sahaja.
“Kita pantau apa yang berlaku isu membabitkan (tuntutan ke atas) Sabah dan reaksi daripada pihak politik (Filipina berkaitan tuntutan Sulu) hanya tindakan yang ‘menangguk di air keruh’ di Filipina.
“Sebenarnya, dulu ada cadangan ia (menuntut Sabah) digugurkan (oleh kerajaan Filipina) tapi tak jadi gugur sebab ia isu politik,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang meminta kerajaan menjelaskan pendirian susulan gesaan senator Filipina supaya Manila menuntut semula Sabah berdasarkan anugerah timbang tara RM62.59 bilion kepada waris Kesultanan Sulu.
Terdahulu, Senator Filipina Francis Tolentino membuat gesaan itu supaya setiausaha luar yang baharu “merebut peluang” menuntut semula Sabah berdasarkan kemenangan waris Kesultanan Sulu di mahkamah timbang tara Eropah.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, isu berkaitan Sulu tidak ada kaitan dengan isu kedaulatan negara memandangkan ia hanya tuntutan peribadi kepada Malaysia.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa tuntutan ini tak ada kena-mengena dengan soal keadilan negara, tuntutan daripada waris Sultan Sulu ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia sebagai menuntut daripada apa dikatakan sewaan jajahan Sabah itu dahulu,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan akan melawan tuntutan dibuat waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset Petronas yang ada di Belanda bagi menguatkuasakan satu perintah oleh Mahkamah Arbitrasi di Perancis yang menganugerahkan pampasan USD15 bilion.