
Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Bersatu merupakan satu komponen penting dalam GRS, kerana tanpa penglibatannya gabungan itu mungkin tidak akan wujud sebelum ini.
“Walaupun diakui GRS hanya menjadi pakatan politik secara rasmi pada awal 2022, namun GRS sendiri tidak akan wujud tanpa adanya Bersatu. Bersatu salah satu komponen penting dalam GRS, malahan perlu diakui bahawa pimpinan utama kerajaan negeri yang ada pada hari ini pun sebenarnya terdiri daripada wakil rakyat Bersatu,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan GRS bersetuju memberi sokongan kepada calon BN di Sabah pada PRU akan datang. Bagaimanapun, kerjasama antara GRS dengan BN di Sabah dilihat masih “samar”, kerana GRS turut “dibarisi” Bersatu serta SAPP yang merupakan komponen dalam PN, dengan pengerusinya Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengisytiharkan BN sebagai musuh utama mereka.
Dalam pada itu, Ramli berkata, isu pembahagian kerusi menjadi cabaran utama sekiranya kerjasama antara BN dan GRS berlaku pada PRU15 nanti. Katanya, ini kerana kesemua parti sama ada dalam GRS atau BN pastinya akan menganggap mereka mempunyai kekuatan di satu-satu kawasan dan pada akhirnya “pergaduhan” sesama mereka mungkin bakal berlaku.
Oleh itu, katanya, walaupun Zahid menyatakan GRS akan menyokong semua calon BN, realitinya adalah ia sukar direalisasikan dalam situasi sebenar politik.
Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut sependapat dengan Ramli mengenai ramalan bahawa PN atau Bersatu bakal “berkubur” sekiranya kerjasama BN-GRS menjadi realiti.
“Ini kerana kekuatan dan kemenangan pada pilihan raya nanti dipengaruhi oleh banyak faktor seperti calon, isu, ‘multi corner fight’ dan lain-lain…tidak semestinya hanya faktor parti,” katanya.
Bagaimanapun, Tony berkata, kerjasama antara BN dan GRS adalah tidak mustahil jika dipersetujui berdasarkan “menang-menang” kerana masing-masing pastinya mahu menjaga kepentingan politik masing-masing.
“Soal pembahagian kerusi juga boleh diselesaikan dengan baik jika pada dasarnya sudah diformulasikan secara konsensus dalam kalangan mereka,” katanya.
Seorang lagi penganalisis dari UMS, Lee Kuok Tiung pula melihat kerjasama antara BN dan GRS sebagai berkemungkinan besar berlaku, dengan menyifatkan keadaan politik di Sabah berbeza daripada Semenanjung. Katanya, soal autonomi Umno Sabah juga menjadi faktor kerjasama dua gabungan berkenaan mungkin berlaku, selain keikhlasan antara mereka yang kini menjadi peneraju kerajaan negeri.
“Kedua-dua gabungan ini sedar mereka tidak mempunyai mempunyai calon untuk kesemua 26 kerusi parlimen termasuk satu di Labuan dan mereka juga sedar mereka akan lebih kuat jika bekerjasama,” katanya.