Kekal spekulasi, kata timbalan speaker berkait dakwaan Parlimen bubar

Kekal spekulasi, kata timbalan speaker berkait dakwaan Parlimen bubar

Ramli Mohd Nor berkata perjalanan Dewan Rakyat termasuk perbahasan rang undang-undang berjalan seperti biasa selagi tiada kenyataan rasmi.

Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor berkata sidang Dewan Rakyat berjalan seperti biasa sebagai menjawab soalan Teresa Kok (PH- Seputeh) yang mengatakan perbahasan RUU dibentang menjadi sia-sia jika Parlimen bubar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dakwaan Parlimen bubar sama ada hari ini atau esok hanya kekal spekulasi sehingga pengumuman rasmi dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor, berkata selagi tiada kenyataan rasmi dibuat, perjalanan Dewan Rakyat termasuk perbahasan rang undang-undang (RUU) dibentangkan wakil kerajaan berjalan seperti biasa.

“Bab pembubaran Parlimen ini masih lagi spekulasi, sebagaimana Yang di-Pertua Dewan Rakyat katakan, ia masih spekulasi.

“Apa yang telah dinyatakan itu, kita akan teruskan sidang seperti biasa sehingga ‘the moment comes’ (tiba masanya). Kita jangan spekulasi, apa-apa yang akan diputuskan kita tidak tahu lagi, biar kita teruskan bersidang sehingga perkara itu berlaku,” katanya.

Ramli berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Teresa Kok (PH-Seputeh) sama ada tindakan wakil rakyat membahaskan RUU yang dibentang di Parlimen menjadi sia-sia jika Parlimen dibubarkan hari ini atau esok.

“Dalam minggu ini kita sudah bahas beberapa pindaan dan RUU, sekiranya Parlimen bubar malam ini atau esok, adakah perbahasan kita ini sia-sia sahaja? Dalam kerajaan baharu adakah semua RUU ini akan dikemukakan dan dibahas semula?” soalnya.

Hari ini, perdana menteri dijadualkan menghadap Agong pada 4 petang.

Khabar angin bertiup kencang Ismail akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Ia susulan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebelum ini memutuskan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Bagaimanapun, beberapa parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15 memandangkan banjir dijangka melanda beberapa negeri pertengahan November.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.