
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata pindaan akta itu akan dibentangkan di Parlimen, namun beliau tidak menyatakan tarikhnya selepas Kabinet meluluskan cadangan ini pada 30 Sept lalu.
Tengku Zafrul berkata, walaupun wakil dari Sabah telah dilantik menganggotai LHDN pada 1 Sept, pindaan itu bertujuan untuk menginstitusikan wakil dari dua negeri Borneo itu.
Kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah mengemukakan calon mereka untuk menduduki lembaga pengarah LHDN pada Julai.
“Pindaan Akta 533 merupakan tindakan kerajaan persekutuan untuk menyusuli permohonan kerajaan Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh perdana menteri.
“Kerajaan telahpun melantik calon kerajaan Sabah bagi mengisi kekosongan ahli profesional dalam Lembaga Pengarah LHDN,” kata dalam kenyataan.
Kata Tengku Zafrul lagi, selain menginstitusikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Pengarah LHDN, ia juga membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam di kedua-dua negeri tersebut.
“Kerajaan percaya pelantikan wakil Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran berkaitan pentadbiran percukaian,” katanya.
Pada 11 Julai lalu, Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, kerajaannya menamakan wakil untuk menganggotai Lembaga Pengarah LHDN bagi memantau hasil kerajaan persekutuan supaya Sarawak memperoleh bahagian yang adil dalam geran khas tahunan.
Dengan itu, katanya, Sarawak boleh mengetahui pendapatan yang diperolehi negeri itu dan jumlah yang boleh diberikan, sekiranya mempunyai wakil dalam LHDN.
Keesokannya, Sabah turut mengumumkan ia sudah menyerahkan nama calonnya untuk dilantik ke LHDN kepada perdana menteri dan Kementerian Kewangan.