Jangan biar doktor kontrak hilang senioriti, MMA beritahu kerajaan

Jangan biar doktor kontrak hilang senioriti, MMA beritahu kerajaan

Persatuan Perubatan Malaysia berkata pegawai kontrak yang diberi gred lebih rendah akan rugi kerana hanya kakitangan tetap layak dinaikkan pangkat.

Malaysian Medics International (MMI) berkata ketidaksamaan dalam imbuhan, faedah, jaminan pekerjaan dan akses kepada peluang kerjaya menyebabkan doktor meninggalkan perkhidmatan awam. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sistem kenaikan pangkat semasa bagi pegawai perubatan perlu dikaji semula untuk memasukkan doktor kontrak yang kehilangan senioriti mereka, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata pegawai kontrak yang dinaikkan pangkat ke gred UD43 daripada UD41 selepas tamat latihan siswazah (housemanship) akan rugi dari segi senioriti berbanding rakan sejawatan yang dinaikkan pada gred lebih tinggi iaitu UD44.

“Kami bersetuju bahawa berdasarkan sistem semasa, pegawai perubatan UD43 yang baru dilantik akan (dianggap) sebagai junior kepada rakan sejawatan mereka dalam UD44. Mereka rugi dari segi peluang kenaikan pangkat kerana hanya kakitangan tetap yang layak,” katanya kepada FMT.

Dalam jangka panjang, katanya, mereka juga akan rugi dari segi kewangan.

Di bawah amalan biasa sebelum ini, mereka akan dinaikkan pangkat sebagai pegawai perubatan ke gred UD44 secara terus selepas tamat latihan selama dua hingga tiga tahun.

Muruga Raj berkata, inilah sebabnya sistem kenaikan pangkat bagi pegawai perubatan perlu dikaji semula bagi memasukkan pegawai perubatan kontrak.

“Sebagai contoh, adalah tidak adil jika tiada peluang kenaikan pangkat bagi pegawai perubatan yang telah berkhidmat secara kontrak selama tujuh tahun. Dia sepatutnya layak untuk kenaikan pangkat ke UD48 seperti yang lain,” katanya.

Beliau berkata kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi adalah berdasarkan masa bagi mereka yang memegang jawatan tetap, di mana bilangan tahun perkhidmatan akan diambil kira untuk meletakkan mereka di gred yang lebih tinggi.

“Oleh itu, ia bukannya jarang berlaku apabila melihat pegawai perubatan melakukan kerja yang sama sehingga gred UD54. Dalam erti kata lain, dua pegawai perubatan mungkin melakukan kerja yang sama tetapi mungkin terdapat perbezaan dalam tahap senioriti dan gred.”

Muruga Raj turut menjelaskan dakwaan beberapa doktor gred UD43 bahawa mereka tidak diberi elaun keraian bulanan RM400.

“Mereka yang berada di gred UD43 (dan juga) UD44 mempunyai elaun yang sama. Tidak betul jika dikatakan terdapat perbezaan elaun untuk kedua-dua gred ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.