
Presiden Muda itu berkata, ia cukup membimbangkan apabila output pendidikan di Malaysia begitu rendah walaupun Putrajaya secara relatifnya membelanjakan lebih banyak untuk sektor berkenaan dari sudut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding negara maju seperti Singapura dan Jepun.
“Graduan Malaysia secara puratanya tujuh tahun terbelakang berbanding graduan dari Singapura.”
Syed Saddiq berkata, pelajar negara ini yang tamat pendidikan menengah mengambil masa satu ke dua tahun lagi untuk bergraduasi dari universiti, berbanding di Singapura.
Keadaan itu berlaku disebabkan laluan pra-universiti seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan A-level mengambil masa dua tahun, manakala rakyat Singapura boleh terus ke universiti sejurus tamat sekolah menengah.
“(Jadi) masa diambil pelajar Malaysia (sekolah menengah) bergraduasi adalah dua tahun lebih lama, berbanding di Singapura,” katanya.
Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Syed Saddiq berkata, ramai pelajar di sini “dipaksa” mengambil subjek yang tidak berkaitan dan tidak perlu dalam major masing-masing, seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), sambil menambah ia hanya melewatkan lagi proses graduasi.
“Mengapa saya mesti mengambil subjek yang berkaitan bangsa saya, agama dan kebangsaan yang saya sudah belajar selama ini selama 18 tahun sejak sekolah rendah? Jangan melayan pelajar universiti seperti budak-budak.
“Sekiranya saya perlu belajar subjek itu lagi di universiti, ini menunjukkan pendidikan rendah dan menengah kita sudah gagal,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.
Katanya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga perlu diperkasa menerusi pertambahan dana untuk disalurkan ke institusi TVET dengan sasaran mencapai kemahiran tinggi menjadi fokus utama.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, Malaysia sepatutnya melabur secara besar-besaran dalam ekonomi hijau kerana tiba masanya negara bergerak meninggalkan struktur intensif karbon.
“Negara perlu melabur dalam tenaga diperbaharui dan juga mengeksport tenaga diperbaharui kepada negara jiran.”
Ahli Parlimen Muar itu juga menekankan kepentingan melindungi sumber asli negara merujuk kepada cadangan partinya berhubung dasar menarik balik kuasa menteri besar untuk menyahwartakan kawasan hutan simpan, sebaliknya kuasa itu diberikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).
Langkah itu akan mengukuhkan proses ketelusan.
Syed Saddiq berkata, semua syor dikemukakan mampu menambah nilai, sekaligus meletakkan negara ini untuk maju ke depan.