Walau Umno beri kata dua, PAS mungkin kekal bersama PN, kata penganalisis

Walau Umno beri kata dua, PAS mungkin kekal bersama PN, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata PAS tidak akan mahu dilihat 'membuang' PN hanya untuk meningkatkan peluangnya pada PRU15 kerana tahu masih boleh bekerjasama dengan Umno selepas pilihan raya.

Minggu lalu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengumumkan PAS kekal bersama gabungan itu pada pilihan raya akan datang.
PETALING JAYA:
PAS mungkin kekal bersama Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) walaupun Umno memberi kata dua, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, realitinya ialah PAS boleh kehilangan banyak kerusi dimenanginya pada pilihan raya lalu jika kekal dengan PN dan bertembung dengan Umno.

Bagaimanapun, katanya, parti itu tidak mahu dilihat membuang PN semata-mata untuk meningkatkan peluangnya pada PRU15.

“Umno berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghadapi PRU15 berbanding PAS. Jika PAS mahu kekal dalam kerajaan, sudah tentu lebih baik ia bersama Umno kerana pengaruh parti itu dalam kalangan orang Melayu.

“Walaupun ada kemungkinan PAS boleh meninggalkan PN, saya percaya ia lebih kepada kekal dengan PN untuk pilihan raya,” katanya sambil menambah ini kerana PAS masih boleh melihat ke arah kerjasama dengan Umno selepas PRU15.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kata dua daripada Umno kepada PAS sama ada memilih mereka atau PN dalam menghadapi PRU15.

Minggu lalu, Muhyiddin, yang juga pengerusi PN mengumumkan PAS akan kekal bersama gabungan itu pada pilihan raya akan datang dan “tiada isu” mengenai parti itu mahu keluar.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, PAS berkemungkinan tidak akan memihak dan meneruskan usaha untuk membawa kedua-dua parti itu bersama.

“Ia mahukan perpaduan Melayu-Islam. PAS berjaya melakukan ini pada 2020, jadi ia tidak mahu mengubah formula,” katanya.

Chin juga berkata, walaupun PAS memasuki PRU15 bersama PN, kemungkinan besar ia akan cenderung kepada Umno dan Barisan Nasional jika memenangi pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.