
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, alasan terkini parti lawan membantah PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah wujudnya unsur tidak menghormati sambutan perayaan Deepavali yang semakin hampir.
“Umno minta PRU15 diadakan apabila tempoh darurat tamat pada 1 Ogos 2021 bagi mengembalikan kestabilan.
“Namun, mereka beri alasan Covid-19 masih ada, sedangkan aktiviti sosial mahupun ekonomi telah kembali sepenuhnya. Negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik,” katanya di Facebook.
Zahid berkata, pembangkang bagaimanapun segera memeterai perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan, serta menetapkan PRU15 tidak boleh diadakan sebelum Julai tahun ini.
Katanya, pembangkang juga membantah PRU15 diadakan tahun ini atas alasan musim tengkujuh dan musim hujan sudah melanda negara sejak bulan lepas.
”Rumusannya mudah saja. Lawan BN tahu fitnah dan janji-janji baharu mereka tidak dapat memperdaya rakyat lagi. Jentera BN perlu bingkas menjelaskan kepada rakyat, iaitu lawan BN membantah PRU15 bukanlah kerana musim hujan.”
Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 30 Sept lalu membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan tahun ini.
Susulan ketetapan itu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, Umno mahu PRU15 diadakan selepas yakin isu pandangan Kabinet berhubung perkara itu sudah “diselesaikan”.