
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Kamaludin Md Said, yang bersidang bersama Nordin Hassan dan Hashim Hamzah, mengarahkan hukuman penjara S Rajendran, 52, bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 17 April 2018.
Rajendran pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh mangsa, rakyat Malaysia P Ramunaidu, yang membawa hukuman mati. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Simpang Awah, Maran, Pahang kira-kira 11 malam, 6 April 2018.
Tertuduh dan mangsa bekerja bersama-sama di ladang sawit Felda Pekan Awah.
Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hassan Abdul Ghani mendapati Rajendran bersalah atas tuduhan bunuh dan memerintahkannya dihukum mati.
Rajendran memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, tetapi peguamnya Baljit Sidhu kemudian mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara, yang telah diterima.
Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai mengesahkan perkara itu. Tuduhan bunuh itu kemudian dipinda kepada menyebabkan kematian tanpa niat bunuh, seterusnya Rajendran mengaku salah.
Mangai mencadangkan hukuman penjara antara 15 hingga 18 tahun untuk tertuduh.
Bagaimanapun, Baljit berhujah trend tempoh hukuman bagi tuduhan pindaan seperti itu lazimnya antara 12 hingga 20 tahun.
“Selain itu, lebih memanfaatkan masyarakat sekiranya perayu diberi peluang berubah. Dia telah menjalani hukuman selama empat tahun lima bulan sejak tangkapannya,” katanya.
Baljit berkata, mangsa memprovokasi perayu dengan menggunakan kata-kata hinaan. Fakta kes turut menyatakan mangsa kemudian memukul kepala dan dada Rajendran dengan batang besi.
Akibatnya, perayu melawan dan secara spontan mengelar mangsa berulang kali menggunakan parang sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.