RUU Perbekalan 2023 dijangka dibaca kali pertama hari ini

RUU Perbekalan 2023 dijangka dibaca kali pertama hari ini

RUU itu akan dibentang oleh menteri kewangan dan bacaan kali kedua dijangka pada Jumaat ini.

Beberapa RUU untuk bacaan kali kedua juga dibentangkan termasuk RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 dan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan 2021).
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali pertama dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, RUU itu akan dibentang oleh menteri kewangan dan bacaan kali kedua dijangka pada Jumaat ini.

Persidangan hari ini juga akan diteruskan dengan menyambung perbahasan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022.

Dewan Rakyat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022), RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022, RUU Makanan (Pindaan (2022) dan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan 2021) untuk bacaan kali kedua.

Pada sesi jawab lisan pula, soalan berhubung usaha kerajaan dalam mengatasi isu eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya berpunca daripada pelbagai aplikasi tidak bermoral dalam talian diajukan Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) kepada menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Turut tersenarai, soalan Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) kepada menteri kewangan berkaitan pendekatan Kementerian Kewangan dalam memastikan model “Environmental, Social dan Governance” (ESG) diterapkan dalam meluluskan mana-mana kontrak kerajaan.

Selain itu, persoalan mengenai perkembangan fasiliti dan kemudahan e-Sukan yang telah dibangunkan kerajaan bagi memenuhi keperluan belia akan diajukan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) kepada menteri belia dan sukan.

Tengku Zulpuri Raja Puji (PH-Raub) pula meminta menteri alam sekitar dan air menyatakan pelan dan tindakan perancangan awal kerajaan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar berikutan fenomena La Nina, monsun timur laut dan taburan hujan di luar jangkaan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 32 hari bermula 3 Okt hingga 29 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.