Jho Low konvoi bersama bekas pegawai bank ke kediaman Najib, mahkamah diberitahu

Jho Low konvoi bersama bekas pegawai bank ke kediaman Najib, mahkamah diberitahu

Bekas pengarah urusan Ambank memberitahu beliau bertemu Jho LOw untuk makan tengah hari dan ditawarkan telefon Blackberry.

Mahkamah diberitahu Low Taek Jho atau Jho Low ada di kediaman Najib Razak ketika borang pembukaan akaun ditandatangani. (Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Bekas pengarah urusan Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa beliau dibawa dalam konvoi kereta untuk bertemu bekas perdana menteri.

Cheah Tek Kuang berkata, pada Januari 2011, konvoi berkenaan – membabitkan dua hingga tiga kenderaan – menjemput berdekatan rumahnya sebelum bergerak menuju ke kediaman Najib, di Langgak Duta.

Katanya, beliau duduk dalam satu daripada kereta itu, sambil ditemani pemandu sahaja.

Semalam, mahkamah diberitahu, Cheah pergi ke kediaman Najib dan menyerahkan kepada bekas perdana menteri itu pelbagai borang permohonan pembukaan akaun bank untuk ditandatangani.

Najib mahu membuka akaun bersama Ambank kerana beliau menjangkakan menerima sejumlah besar dana dari Arab Saudi.

Cheah memberitahu mahkamah, hari ini, apabila tiba di Langgak Duta, beliau mendapati ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, keluar dari sebuah kereta.

Shafee: Adakah anda kenal Jho Low?

Cheah: Saya tahu sikit mengenai dia.

Bagi soalan dikemukan Shafee, Cheah berkata, Low tidak bercakap dengannya ketika mereka berada di kediaman Najib.

Cheah berkata, susulan pertemuan itu, kakitangan Ambank mengadakan perbincangan pada makan tengah hari antaranya dengan Low kerana dia ingin bertemu pengarah urusan bank.

“Tetapi, dia selalu muncul lewat,” katanya sambil menyatakan Low lambat bagi perbincangan ketika makan tengah hari selama 30 minit.

Shafee kemudian berseloroh, ” Sama seperti saya.”

Cheah berkata, beliau menolak perbincangan susulan dengan Low.

“Saya tidak mahu melayan perkara seperti itu,” katanya.

Shafee kemudian bertanya, sama ada Low ada memberikan Cheah telefon Blackberry.

“Saya tidak mengambilnya. Saya menggunakan Nokia,” balas Cheah.

Saya memaklumkan kepada Zeti Najib membuka akaun Ambank, kata Cheah

Cheah juga mengesahkan beliau bertemu Gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz, beberapa hari selepas Najib menandatangani borang pembukaan akaun, termasuk memaklumkannya bahawa Najib kini, pelanggan kepada bank itu.

“Beliau merupakan ‘individu terdedah kepada politik’ kerana selain menjadi perdana menteri, (termasuk) menteri kewangan. Jadi, adalah wajar untuk pemakluman (kepada Zeti). Katanya, beliau (Najib) kena ikut semua peraturan (perbankan),” katanya.

Cheah berkata, beliau mengenali Zeti sejak menjadi pelajar di Universiti Malaya (UM), pada 1960.

“Beliau dalam pengambilan sama seperti saya (Fakulti Ekonomi dan Perniagaan), tapi (ketika itu) di bahagian berbeza.

“Saya mengenalinya tapi tidak rapat sebab (saya tidak) bergaul dengannya,” katanya.

Shafee bertanya kepada Cheah, sama ada beliau mengetahui Zeti adalah anak perempuan kepada Naib Canselor UM, Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid ketika itu.

“Kami semua tahu,” kata Cheah.

Berhubung soalan berkaitan, surat bertarikh 1 Feb 2011, daripada “Putera Saud Abdulaziz Al-Saud” yang didakwa berjanji kepada Najib USD100 juta bagi mempromosi Islam, Cheah berkata, beliau pernah melihat surat itu dan menghantar salinan kepada pejabat Zeti.

Pendengaran bersambung di hadapan Collin Lawrence Sequerah.

Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan dalam akaun Ambank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.