
Merujuk perdebatan berhubung jawatan itu, James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania, berkata berlaku penentangan terhadap pelantikan Joseph Pairin Kitingan hanya kerana beliau bukan Muslim digambarkan sebagai “sangat mengarut”.
“Apa yang diperlukan dalam peruntukan undang-undang adalah individu itu dicalonkan oleh kerajaan negeri, (iaitu) ketua menteri Sabah, secara amalannya. Ia kemudian dipersembah kepada Agong,” kata Chin.
Dari sudut sejarah, beliau berkata, ada perbincangan membahagikan jawatan ketua menteri dan Yang di-Pertua Negeri, dalam konteks Sabah ia bermaksud kepada anak tempatan Muslim dan bukan Muslim, namun langkah itu tidak termaktub dalam mana-mana dokumen undang-undang.
“Ketua menteri Sabah pertama adalah Donald Aloysius Stephens, dan ketika pelantikannya, beliau merupakan Kristian, manakala Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama adalah Mustapha Harun (seorang Muslim). Jadi, ada keseimbangan,” katanya.
Justeru, Chin berkata, perkara itu juga dilaksanakan di Sarawak yang mana perbincangan menjurus sekiranya ketua menteri adalah Dayak, maka Yang di-Pertua Negeri dilantik dari kumpulan etnik lain.
“Jadi, ketua menteri pertama, Stephen Kalong Ningkan, (manakala) Yang di-Pertua Negeri Tun Abang Haji Openg Bin Abang Sapiee,” kata Chin sambil menyatakan, “sekali lagi, seperti mana kebanyakan perjanjian politik, ia tidak termaktub dalam undang-undang.”
Katanya, idea bahawa Islam perlu mendominasi jawatan pentadbiran dan politik di Malaysia Timur merupakan kesan langsung ideologi “Ketuanan Melayu” dari Malaya, sebagai langkah memasukkan Sabah dan Sarawak dalam sistem politik mereka.
“Saya menyokong penamaan Pairin sebagai Yang di-Pertua Negeri kerana saya berpandangan adalah sangat penting negeri Borneo memperkukuh pendekatan politik pelbagai kaum,” katanya.
Chin berkata, memisahkan jawatan Yang di-Pertua Negeri yang juga jawatan adat istiadat dengan ketua menteri selaku jawatan politik tertinggi dalam pelbagai komuniti politik merupakan simbol berkuasa menentang model politik kaum dan agama Malaya.
“Ia adalah politik baik, selain memastikan semua pihak dirangkum dalam dalam mozek iaitu Sabah dan Sarawak. Sekiranya kita terus bermain politik kaum dan agama, kita akan menjadi seperti Malaya, dari segi politik.
“Ringkasnya, pemilihan Yang di-Pertua Negeri adalah pilihan 110% politik,” kata Chin.