Xavier sudah buktikan PBM ‘parti katak’, kata pemimpin PKR

Xavier sudah buktikan PBM ‘parti katak’, kata pemimpin PKR

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Xavier Jayakumar yang menjadi wakil rakyat bebas selepas keluar PKR pada Mac tahun lalu sepatutnya menyertai PBM selepas Parlimen dibubarkan.

Xavier Jayakumar mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas selepas keluar PKR pada Mac tahun lalu, dan dilaporkan menyertai PBM, pada 1 Okt. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyertaan bekas naib presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) mencerminkan wajah sebenar parti pimpinan Zuraida Kamaruddin itu sebagai “parti katak”, kata seorang pemimpin PKR.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, berkata Xavier, yang menjadi wakil rakyat bebas selepas keluar PKR pada Mac tahun lalu, seharusnya menyertai PBM selepas Parlimen dibubarkan sekiranya beliau “berprinsip”.

“Sepatutnya, Xavier buat dua perkara, sama ada tunggu sampai Parlimen bubar barulah bertanding sebagai Ahli Parlimen PBM, atau masuk PBM dan letak jawatan Ahli Parlimen sekarang,” katanya kepada FMT.

“Kalau mereka tak lakukan antara salah satu ni, mereka tidak ada maruah kerana pindaan Perlembagaan (akta anti lompat parti) telah diluluskan oleh semua ahli Dewan Rakyat yang hadir termasuk dia.”

Sebelum keluar PKR dan mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan PN ketika itu, Xavier yang juga bekas menteri air, tanah dan sumber asli ketika pentadbiran Pakatan Harapan, dilapor disiasat SPRM berhubung kes membabitkan pembantunya, MA Tinagaran, yang disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat untuk projek di kementeriannya pada 2019. Status siasatan belum diumumkan.

Presiden PBM, Zuraida Kamaruddin pada 1 Okt, berkata, Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat dan seorang lagi bekas pemimpin PKR, Edmund Santhara Kumar sudah menyertai parti itu. Ini bererti PBM kini mempunyai enam Ahli Parlimen, dengan lima daripadanya memenangi kerusi mereka pada PRU 2018 ketika bersama PKR, manakala seorang lagi dengan Warisan.

Selain Zuraida (Ampang), Santhara (Segamat) dan Xavier (Kuala Langat), Ahli Parlimen lain dalam PBM ialah Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pemergian Xavier daripada PKR tidak menggugat sokongan masyarakat India terhadap parti itu.

“Waktu Xavier keluar PKR tak ramai yang ikut dia. Saya rasa dia keluar hampir seorang diri. Berseorangan dan keseorangan,” jelas Fahmi.

Selain itu, Fahmi juga menolak sebarang kemungkinan perpindahan bekas pemimpin PKR ke PBM mampu menggugat kedudukan PKR sebagai parti berbilang kaum yang terbesar di Malaysia.

“Saya tak lihat itu sebagai isu. Waktu ini PKR dari segi persiapan jentera, kekuatan pimpinan telah selesai pemilihan jelas berada dalam satu kedudukan yang amat baik dan bersedia memasuki pilihan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.