‘Jangan terima Muda’, Pemuda PKR hantar memorandum kepada PH

‘Jangan terima Muda’, Pemuda PKR hantar memorandum kepada PH

Naib Ketua Pemuda PKR Atyrah Hanim Razali berkata memorandum itu mewakili suara akar umbi yang tidak diberi ruang untuk bersama dalam mesyuarat rundingan dengan Muda.

Pemuda PKR membantah hasrat Muda menyertai Pakatan Harapan.
PETALING JAYA:
Pemuda PKR mengesahkan satu memorandum bantahan dihantar kepada pucuk pimpinan parti agar tidak menerima permohonan Muda menyertai Pakatan Harapan (PH).

Naib ketuanya, Atyrah Hanim Razali berkata memorandum untuk edaran dalaman itu mula dihantar secara e-mel hari ini kepada ahli jawatankuasa rundingan PH bersama Muda serta Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli.

“Ya kami baru serah hari ini untuk sebaran dalaman, kita baru saja emel kepada AJK rundingan dan juga presiden serta timbalan presiden,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, memorandum itu mewakili suara akar umbi yang tidak diberi ruang untuk bersama dalam mesyuarat rundingan bersama parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.

“Pandangan sebagai sayap Pemuda perlu diberi perhatian…kita tiada ruang dalam mesyuarat bersama Muda. Jadi, ini ruang untuk sampaikan suara Pemuda.

“Kita tak buat keputusan di peringkat pusat saja, ia mengambil kira suara di peringkat negeri dan akar umbi kerana mereka adalah jentera parti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sayap Pemuda akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan kelak.

Terdahulu, tular satu memorandum bantahan penyertaan Muda dalam PH yang disifatkan sebagai sulit, diserahkan kepada AJK rundingan diwakili setiap parti komponen PH iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR, Steven Sim Chee (DAP), Hasbie Muda (Amanah) dan Ewon Benedick (Upko).

Antara isi kandungan dokumen itu adalah kemasukan Muda ke dalam PH memberi gambaran bahawa sayap Pemuda PH lemah dan tidak dipercayai untuk mengemudi kepimpinan di peringkat sayap mahupun sebagai generasi pelapis parti komponen masing-masing.

“PH, seharusnya mengambil langkah proaktif untuk melatih, memberi ruang tadbir urus dan kepimpinan kepada sayap pemuda yang ada bukan sebaliknya dianaktirikan dan peluang diberikan kepada Muda,” menurut memorandum yang dilihat FMT.

Memorandum itu mewakili suara ketua Pemuda PKR setiap negeri.

Jumaat lalu, Hasbie memaklumkan kepada FMT keputusan muktamad berhubung hasrat Muda menyertai PH dijangka diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden, esok.

Tambahnya, mesyuarat antara AJK rundingan bersama Muda menunjukkan perkembangan positif, yang mana semua parti dalam PH secara prinsip mengalu-alukan kehadiran Muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.