
Usul penangguhan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mencadangkan usul nombor satu dalam Aturan Urusan Mesyuarat ditangguh ke sidang akan datang.
“Menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dan dengan persetujuan yang dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6, iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat seperti perkara nombor satu yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini, di mesyuarat ketiga akan datang,” katanya.
Usul itu kemudian disokong Timbalannya, Mas Ermieyati Samsudin yang dipersetujui dengan undian suara oleh ahli Dewan Rakyat.
Dalam sidang media selepas itu, Wan Junaidi menjelaskan usul itu ditangguhkan selepas pihaknya mendapati hanya pihak kerajaan menghantar nama calon timbalan yang dipertua Dewan Rakyat.
“Saya telefon (Ketua Pembangkang) Anwar Ibrahim, dia di India pada masa itu. Saya bagi tahu dengan dia oleh kerana tiada pencalonan daripada Pakatan Harapan, maka atas persefahaman yang dahulu bahawa kita juga akan tarik (nama) calon kita.
“Kita tidak mahu ambil kesempatan terhadap orang lain,” jelasnya.
Ini merupakan kali kelima Dewan Rakyat menangguhkan usul berkenaan, selepas Azalina meletak jawatan 23 Ogos tahun lalu.
Kali terakhir usul berkenaan dibawa Wan Junaidi pada 18 Jul lalu.