Perhilitan diarah dedah pegawai tembak mati lotong

Perhilitan diarah dedah pegawai tembak mati lotong

Perhilitan dikritik selepas menembak mati lotong berkenaan di kawasan kuarters pendidikan Seri Sentosa di Batu 2½ Jalan Pantai, Port Dickson pada 19 Mei tahun lalu.

Perhilitan sebelum ini dilaporkan terpaksa menembak haiwan berkenaan selepas menerima lapan laporan serangan lotong atau ‘dusky leaf monkey’ terhadap manusia.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Seremban mengarahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengemukakan butiran pegawai atau individu yang membunuh beberapa Lotong atau ‘dusky leaf monkey’ di satu kawasan kediaman di Port Dickson pada tahun lalu.

Selain nama, no kad pengenalan dan alamat, Perhilitan juga diminta mengemukakan dokumen membuktikan pegawai atau individu yang dinyatakan terbabit menembak mati haiwan terancam itu.

“Defendan diberi tempoh 14 hari bermula hari ini untuk memfailkan afidavit semua dokumen yang diarah dikemukakan oleh mahkamah,” kata peguam Rajesh Nagarajan bagi pihak plaintif.

Plaintif dalam tuntutan itu adalah Nurul Azreen Sultan, penduduk Taman Raja Zainal lokasi lotong itu ditembak dan NGO Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup).

Pada tahun lalu, Perhilitan dikritik selepas menembak mati lotong berkenaan di kawasan kuarters pendidikan Seri Sentosa di Batu 2½ Jalan Pantai, Port Dickson pada 19 Mei tahun lalu. Media sosial melaporkan 20 monyet ditembak tetapi Perhilitan memaklumkan hanya tujuh dibunuh.

Perhilitan berkata, ia terpaksa mengambil langkah itu selepas menerima lapan laporan serangan terhadap manusia dan paling serius seorang wanita yang mengalami kecederaan serius di kepala.

Bagaimanapun, Nurul memberitahu, pemeriksaan di hospital tidak menemui pesakit yang mengalami kecederaan seperti itu.

Kata Perhilitan operasi menangkap monyet itu menggunakan perangkap gagal dan tindakan menembak mati adalah pendekatan terbaik untuk mengatasi konflik hidupan liar kerana kawasan itu adalah lokasi penempatan penduduk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.