
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata usul berkenaan tidak perlu disegerakan kerana ia sudah dibincangkan sebanyak lapan kali di Dewan Rakyat sebelum ini, termasuk usul tergempar mengenai isu itu yang difailkan Salahuddin Ayub (PH-Pulai) pada Disember tahun lalu.
Selain itu katanya, isu berkenaan juga turut disentuh dalam sesi soal jawab hari ini yang dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dengan panjang lebar.
“Saya sudah memberi lapan soalan untuk diajukan kepada menteri ekonomi yang dibincangkan selama 45 minit dan esok, akan ada lagi satu soalan.
“Selain itu, sesi ini adalah sesi bajet, di mana kita akan bincangkan bajet selama 23 hari di peringkat dasar dan jawatankuasa,” katanya di Dewan Rakyat.
Azhar berkata, persidangan Dewan Rakyat kali ini juga akan menumpukan kepada Bajet 2023 mulai minggu depan, selepas ia dibentangkan pada Jumaat ini.
“Saya pasti, isu ini akan diperdebatkan semua Ahli Parlimen dan akan dijawab menteri berkaitan. Justeru, saya terpaksa menolak usul berkenaan,” katanya.
Anwar bagaimanapun menyatakan perbahasan Bajet 2023 akan lebih tertumpu kepada perbelanjaan masa depan, manakala sesi waktu soalan hanya memberi ruang kepada menteri menyampaikan “syarahan ekonomi” tanpa sebarang ruang untuk perbahasan.
Anwar pada Jumaat lalu berkata beliau telah mengemukakan usul berkenaan supaya isu itu diutamakan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini.