Culik ahli perniagaan, 2 lelaki ditahan

Culik ahli perniagaan, 2 lelaki ditahan

Kedua-dua suspek berumur lingkungan 37 dan 40 tahun ditahan di sekitar Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek direman hari ini hingga 6 Okt dan kes disiasat bawah Seksyen 365 Kanun keseksaan kerana menculik. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki warga tempatan berhubung kes culik yang melibatkan seorang ahli perniagaan di Jalan Pandan Indah dekat Ampang khamis lalu yang dipercayai akibat masalah hutang.

Ketua Polis Daerah Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya telah menahan kedua-dua suspek berumur lingkungan 37 dan 40 tahun yang bekerja sebagai penjual sayur dan pekerja kilang di sekitar Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Katanya, suspek berusia 40 tahun mempunyai tiga rekod lampau dalam kesalahan dadah, suspek berusia 37 tahun mempunyai lapan rekod lampau dalam kesalahan dadah

“Ujian air kencing ke atas tangkapan pertama dan kedua didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa pakaian, telefon bimbit kedua-dua suspek dan sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan semasa kejadian.

Katanya, kedua-dua suspek direman bermula hari ini hingga 6 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun keseksaan kerana menculik yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan didenda.

Farouk turut memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan melakukan kesalahan curi.

Terdahulu, kejadian tersebut tular di media sosial menerusi satu klip video berdurasi satu minit 11 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar kenderaan dinaiki suspek bersama mangsa terbabit.

Mangsa yang merupakan ahli perniagaan berusia 38 tahun dilepaskan dan mengalami beberapa kecederaan di bahagian muka dan kaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.