Aktiviti kuari akan musnah hutan simpan, kata peguam alam sekitar

Aktiviti kuari akan musnah hutan simpan, kata peguam alam sekitar

Rajesh Nagarajan menyifatkan kenyataan exco Selangor berhubung status Hutan Simpan Bukit Lagong adalah 'kenyataan tidak jujur'.

Seorang exco Selangor berkata, 19 kuari baharu diluluskan antara 2018 dan 2019 untuk memenuhi permintaan bagi bahan binaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang peguam bagi dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar mencemuh kenyataan seorang exco Selangor bahawa Hutan Simpan Bukit Lagong akan mengekalkan statusnya, walaupun 800 hektar diperuntukkan untuk pengkuarian.

“Ia kenyataan tidak jujur. Apabila pengkuarian selesai, hutan akan hilang,” kata peguam Rajesh Nagarajan.

Khamis lalu, Exco Selangor, Hee Loy Sian berkata, 19 kuari baharu diluluskan antara 2018 dan 2019 untuk memenuhi permintaan bahan binaan.

Bagaimanapun katanya, “status tanah itu kekal sebagai hutan simpan”.

Hee berkata, 28% daripada Hutan Simpan Bukit Lagong dibangunkan bagi tujuan kuari, dengan tujuh kuari sedia ada yang berkeluasan 215.64ha diluluskan antara 1992 dan 2000.

Kenyataan Hee itu menyusul iklan penjualan lot tanah kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong pada harga RM150,000 seekar. Satu peta yang kononnya dikeluarkan Jabatan Perhutanan negeri dilampirkan.

Hee berkata, Jabatan Perhutanan negeri menafikan ia mempunyai sebarang kaitan dengan iklan tersebut.

Rajesh berkata, Hee harus lebih terbuka dalam berkongsi maklumat seperti tarikh kelulusan kesan alam sekitar untuk 19 permohonan dan butiran syarikat yang diberikan kontrak membersihkan tanah itu.

Beliau turut mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada kayu ditebang dan sama ada kerajaan negeri akan menjual tanah itu kepada kontraktor sebaik pengkuarian selesai.

Rajesh mewakili 2 NGO alam sekitar yang diberikan penangguhan sementara terhadap tindakan kerajaan Selangor menyahwartakan sebidang tanah di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Hutan Simpan Bukit Lagong terletak setengah jam perjalanan memandu ke barat laut Kuala Lumpur dan bersebelahan kawasan hijau terkenal, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di Kepong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.