
Beliau berkata, pendataan dibuat terhadap semua pendatang asing untuk memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal dan bekerja di negeri ini, manakala undang-undang sedia ada akan dilaksanakan terhadap mereka yang tidak mempunyai dokumen tersebut.
“Fasa berikut selepas selesai pendataan digital ialah fokus penyeragaman dokumen bagi memastikan semua berada di Sabah didokumenkan secara teratur,” katanya berucap merasmikan majlis penutupan Program ‘Kita Demi Negara’ Zon Sabah anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dihadiri menterinya, Hamzah Zainuddin, di Dataran Kompleks Sukan Likas.
Sementara itu, Hajiji menegaskan kerajaan Sabah tidak teragak-agak mempertingkatkan tahap keselamatan di negeri ini kerana aspek itu amat penting terutama dengan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran.
Beliau berkata, ini juga kerana Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai kawasan pesisir pantai yang panjang serta lebih daripada 40 buah pulau amat terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan antaranya pendatang asing, pencerobohan nelayan asing, sempadan antarabangsa dan isu kewarganegaraan.
Katanya, langkah meletakkan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan strategik di pedalaman Sabah merupakan langkah tepat bukan sahaja bagi mengekang kemasukan ancaman pada masa ini tetapi juga langkah proaktif mengekang ancaman luar.
“Usaha KDN melaksanakan inisiatif pengeluaran dokumen imigresen dan pendaftaran di pos kawalan Imigresen dengan pos kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan, sebagai projek rintis memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia selain daripada Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.