
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Steven Chow berkata, kerajaan tidak sepatutnya melaksanakan RUU Generasi Penamat (GEG) secara tergesa-gesa.
“Kita perlu mengambil masa dan menggunakan sumber kita dengan baik.
“Melaksanakan GEG secara tergesa-gesa dan mengecualikan pengurangan kemudaratan daripada dasar akan menyebabkan kita terlepas peluang kerana kita mungkin kehilangan impak bermakna ketara terhadap epidemik tembakau.”
Chow berkata, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang ditugaskan untuk merangka RUU itu mesti merujuk laporan saintifik mengenai pengurangan kemudaratan tembakau bagi memastikan rangka kerja pengawalseliaan yang betul disediakan kerana terdapat keperluan mendesak untuk menjalankan penyelidikan mengenai pengurangan kemudaratan tembakau di negara ini.
Beliau turut menggesa PSC melibatkan pengamal am dan doktor terlatih dalam membantu pesakit berhenti merokok semasa merangka dasar, sambil memberi amaran ia akan menjadi “malapetaka” jika kerajaan terpaksa menarik balik RUU itu lima tahun akan datang kerana undang-undang yang tidak komprehensif atau tidak berkesan.
Profesor kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, draf semasa RUU itu meremehkan dan mengabaikan penggunaan kaedah pengurangan kemudaratan, serta menggesa PSC merujuk contoh kaedah sedemikian yang berjaya dilaksanakan di negara lain.
“Mengharamkan penjualan tembakau dan produk merokok secara tiba-tiba mungkin mendorong orang ramai beralih kepada cara yang menyalahi undang-undang untuk mendapatkan produk itu.”
Sharifa berkata, peraturan perlu dilaksanakan secara berperingkat, sekiranya RUU itu diluluskan.
Ogos lalu, Dewan Rakyat mengundi untuk merujuk RUU itu, yang bertujuan melarang penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok serta produk vape kepada generasi yang lahir selepas 2007, kepada PSC.
RUU GEG mendapat tentangan beberapa pihak, termasuk Ahli Parlimen dan pemain industri.
Isnin lalu, dilaporkan lebih 600,000 rakyat Malaysia menandatangani petisyen dalam talian yang menentang RUU GEG.
Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) dan Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) menggesa Putrajaya mendengar suara penyokong petisyen itu dan pemain industri. Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, mereka meminta satu pertemuan diadakan dengan PSC, tetapi permintaan itu tidak diendahkan.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, RUU itu masih dikaji oleh PSC, tetapi beliau tetap berharap undang-undang itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.
Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang menganggotai PSC untuk merangka RUU itu memberitahu FMT, beliau tidak boleh mendedahkan butiran berhubung RUU itu kerana ia masih dalam semakan.