‘Kamu patut gembira sokongan Melayu kepada Umno menjunam’, Khaled sindir Rafizi

‘Kamu patut gembira sokongan Melayu kepada Umno menjunam’, Khaled sindir Rafizi

Naib presiden Umno menyindir Rafizi Ramli dengan berkata jika sokongan Melayu kepada Umno menjunam ia 'bagus' untuk PH.

Khaled Nordin berkata Rafizi Ramli sepatutnya gembira apabila sokongan Melayu kepada Umno menurun kerana ia memberi peluang baik kepada Pakatan Harapan.
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno menyindir Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli selepas mendakwa parti itu terdesak mengadakan pilihan raya umum kerana sedar sokongan pengundi Melayu menjunam dalam tempoh Ogos hingga September.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, berkata Rafizi sepatutnya gembira apabila sokongan Melayu kepada Umno menurun kerana ia memberi peluang baik kepada Pakatan Harapan (PH), bukan menuduh parti lain terdesak mengadakan PRU15 lebih awal.

“Kalau (sokongan Melayu) menjunam kan bagus untuk mereka (PH),” katanya ringkas kepada FMT.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, berkata Rafizi bebas membuat pelbagai tuduhan kepada parti itu termasuk terdesak mahukan pilihan raya awal, namun rakyat tidak “bodoh” dan lupa kepada sejarah 22 bulan kegagalan PH memerintah.

Beliau berkata, tuduhan Rafizi konon sokongan Melayu merudum kepada Umno hanya persepsi dicipta untuk menarik sokongan pengundi apabila gagal menunjukan sebarang bukti atas tuduhan dibuat.

“Selepas PH menang pada 2 Mei 2018, tak sampai enam bulan PH dicemuh dan ditolak rakyat, ketika itu sokongan kembali kepada BN dan tujuh PRK kita menang, PRN kita menang, hari ini beliau boleh tuduh apa-apa cuma tidak ada bukti ada penurunan sokongan kepada BN,” katanya.

Katanya, tiada bukti menunjukan isu bekas perdana menteri Najib Razak dipenjarakan dan kapal tempur pesisir (LCS) menyebabkan Orang Melayu beralih sokongan daripada BN.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT Umno, Md Alwi Che Ahmad menganggap kenyataan Rafizi menunjukkan PH sebenarnya takut menghadapi gelombang penolakan Melayu.

Katanya, sepatutnya Rafizi setuju PRU awal jika yakin orang Melayu menolak Umno, bukan memberi pelbagai alasan.

“Jadi, bagi saya sebelum tuduh apa-apa, lebih baik semak kesahihan kemenangan beliau sebagai timbalan presiden PKR dulu sebelum cakap pasal parti lain, dia nak tutup isu forensik audit pemilihan PKR yang sedang disiasat tapi pusing cerita serang Umno,” katanya.

Rafizi menerusi jelajah Trak Ayuh Malaysia di Pulau Pinang mendakwa, Umno terdesak mengadakan pilihan raya umum kerana sedar sokongan pengundi Melayu baginya menjunam dalam tempoh Ogos hingga September sahaja.

Katanya, berlaku peralihan sokongan Melayu 9% selepas bekas Najib dipenjarakan, selain susulan pendedahan isu LCS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.