Anjur konsert depan Masjid Zahir, MB Sanusi kesal, kata Exco

Anjur konsert depan Masjid Zahir, MB Sanusi kesal, kata Exco

Exco Kedah Mohd Firdaus Ahmad berkata beranggapan insiden itu yang dianggap 'mencemar nama baik kerajaan negeri.

Tangkap layar memaparkan pengunjung sedang menari dalam konsert yang dikatakan dianjurkan di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar.
PETALING JAYA:
Kerajaan Kedah akan memanggil penganjur utama festival di Balai Seni Alor Setar yang menganjurkan konsert di hadapan Masjid Zahir, semalam, kata Exco, Mohd Firdaus Ahmad.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa pelancongan, seni dan budaya negeri, berkata menteri besar, Sanusi Md Nor, juga menyatakan kekesalan berhubung perkara itu sambil menegaskan, “mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T”.

“Apa yang ditegaskan oleh menteri besar, perkara seperti ini boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T walaupun kita tengok anak muda berseronok dan menarik, jadi kita akan elak perkara seperti ini berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya menurut Kosmo.

Firdaus berkata, pejabatnya akan menghantar surat rasmi kepada pihak terlibat untuk mendapatkan penjelasan tentang insiden itu yang dianggap “mencemar nama baik kerajaan negeri”.

“Saya sudah berbincang perkara ini dengan menteri besar pada hari ini yang turut melahirkan rasa kesal. Pejabat saya akan hantar surat untuk panggil penganjur utama dan dengar penjelasan mereka.

“Kita akan buat siasatan termasuk di peringkat dalaman kerana penganjur bersama festival ini adalah Lembaga Muzium Negeri Kedah dan saya selaku pengerusi, kita kena tengok kenapa berlaku insiden ini,” katanya menurut Kosmo.

Mengulas lanjut, katanya, pihak kerajaan negeri tidak mendapat maklumat terperinci tentang pengisian festival berkenaan termasuk konsert itu.

“Kerajaan negeri dan pihak muzium tidak dimaklumkan akan berlangsung konsert seperti ini. Seperti kita tahu bila ada konsert muda-mudi dan nyanyi lagu muda-mudi di khalayak, akan ada menari-nari di bawah.

“Kebenaran termasuk menyediakan tapak di Balai Seni itu adalah untuk festival usahawan muda-mudi sahaja. Apa yang berlaku di konsert itu adalah di luar jangkaan,” katanya.

Laporan itu menyebut, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada penganjur sebuah festival untuk mengadakan konsert di Balai Seni berdekatan Masjid Zahir.

Menurut Datuk Bandar Alor Setar Zaid Ahmad, MBAS melahirkan rasa kesal dengan tindakan penganjur terlibat yang disifatkan melanggar peraturan selain menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negeri ini.

Sebelum itu, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan pelbagai aksi di Balai Seni Alor Setar.

Acara berkenaan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh daripada Masjid Zahir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.