
“Tolonglah kerajaan. Bantulah anak saya. Tolonglah kerajaan ambil tindakan dengan segera,” tangisnya mendayu-dayu ketika menghadiri perhimpunan aman memperingati rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di hadapan Kedutaan Myanmar di sini, malam tadi.
Ibu malang yang tidak didedahkan identitinya atas faktor keselamatan itu, menceritakan anak lelakinya baru berusia 20 tahun dan menjadi mangsa penipuan pekerjaan ke Dubai.
Hatinya hancur apabila menerima panggilan daripada anaknya yang meminta tolong selepas diseksa sindiket penipuan di sana.

“Kerajaan Myanmar, tolong kembalikan anak saya dengan baik. Anak-anak kamu (rakyat Myanmar) kat sini baik-baik kita jaga, bukan kita seksa. Bagi makan, gaji yang sempurna, bukan macam kamu (seksa mangsa pemerdagangan). Kembalikan anak saya,” tangisnya lagi.
Beliau antara beberapa lagi wakil keluarga yang hadir menyertai “candle light vigil” anjuran dua NGO, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia (Al-Ehsan).
Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim bertegas, NGO akan terus mengadakan himpunan aman untuk memberi tekanan kepada Kedutaan Myanmar yang didakwanya biadab kerana enggan menerima memorandum dihantar mereka secara terhormat.
“Kerajaan Myanmar tidak punya sifat kemanusiaan apabila tak ambil tindakan dan biarkan sindiket ini bermaharajalela. Media perlu sampaikan kepada seluruh dunia, wujudnya negara seperti ini yang tidak bertamadun dan memalukan,” katanya di hadapan kira-kira 100 peserta himpunan.

Beliau mendakwa mangsa pemerdagangan manusia akan dipaksa menjadi “scammer” dan jika tidak dapat mencapai sasaran ditetapkan sindiket, mereka akan diseksa, malah ada yang dijual kepada sindiket penjualan organ, dijadikan pelacur dan dipaksa menjual dadah.
Katanya, mereka juga diseksa dengan tidak diberi makan, dipaksa makan daging babi serta sampah, dikenakan renjatan elektrik dan dikurung dalam gelap.
Beliau kemudiannya mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar, Laos dan Kemboja serta Interpol untuk memberi perlindungan kepada kakitangan kedutaan Malaysia di negara terbabit yang berdepan ancaman dan risiko keselamatan dalam proses menyelamatkan mangsa.
Presiden Al-Ehsan, Muhammad Ridhwan Sulaiman meminta semua pihak berwaspada dan menghalang anak mereka ke negara jiran seperti Thailand, Filipina serta Vietnam, yang dakwanya menjadi transit sebelum dipindahkan ke Myanmar.
“Halang anak-anak kita daripada pergi ke tiga negara ini. Rakyat Malaysia ada yang jadi ejen untuk mencari mangsa. Mangsa kebanyakannya golongan muda akan terpengaruh, tambahan pula mereka menawarkan gaji lumayan mencecah RM6,000 sebulan.”
Sehingga kini, katanya, dianggarkan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar.