Pecat wakil rakyat tak patuh: Boleh rosak demokrasi jika semua parti ikut langkah DAP, kata pakar

Pecat wakil rakyat tak patuh: Boleh rosak demokrasi jika semua parti ikut langkah DAP, kata pakar

Wong Chin Huat berkata, langkah DAP itu boleh menjadikan undang-undang lompat parti 'alat berguna' untuk pemimpin parti 'menghimpit' persaingan atau kritikan dalaman.

Pada kongres khasnya minggu lepas, DAP meluluskan pindaan pada perlembagaannya, membolehkan mana-mana wakil rakyat yang tidak mengikut arahan parti ‘dalam perkara utama’ dipecat.
PETALING JAYA:
Seorang ahli sains politik khuatir demokrasi akan rosak jika parti politik lain mengikut langkah DAP memecat wakil rakyat yang tidak menurut arahan pemimpin.

Prof Wong Chin Huat daripada Sunway University berkata, undang-undang anti-lompat yang diluluskan Parlimen baru-baru ini dirangka untuk mengelakkan pemusatan kuasa di tangan pemimpin parti, namun langkah DAP itu boleh menjadikan ia “alat berguna” untuk pemimpin parti “menghimpit” persaingan atau kritikan dalaman.

“Kalau wujud undang-undang anti-lompat yang merangkumi pemecatan daripada parti pada 2016, maka Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir akan dipecat sebagai Ahli Parlimen kerana menentang skandal 1MDB (ketika bersama Umno),” katanya kepada FMT.

“Malah, kerana mereka dipecat ketika penggal Parlimen tinggal kurang daripada dua tahun, mereka tidak akan berpeluang untuk memohon pembelaan pengundi dalam pilihanraya kecil,” katanya.

“Undang-undang anti-lompat yang ‘terlalu ketat’ boleh melindungi kuasa pemimpin parti terutama pemimpin parti kerajaan yang menyalahgunakan kuasa atau terlibat dengan skandal.”

Pada 25 Sept, DAP meluluskan pindaan pada perlembagaan parti itu, membolehkan mana-mana wakil rakyat yang tidak mengikut arahan parti “dalam perkara utama” dipecat. Langkah ini menyusuli pelulusan undang-undang anti-lompat parti di Parlimen yang hanya terpakai bagi wakil rakyat yang melompat, bukan mereka yang dipecat.

Seorang pemimpin DAP membantah pindaan tersebut, dengan ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat Ronnie Liu, mengakui beliau boleh tersingkir jika perlembagaan DAP mempunyai fasal seperti itu sebelum ini, ketika beliau mengkritik perdana menteri Pakatan Harapan ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Wong berkata, proses memecat wakil rakyat boleh dilakukan dengan begitu pantas, tanpa peluang mencabar keputusan itu.

“‘Berhenti menjadi ahli ‘kerana sebarang ketidakpatuhan terhadap mana-mana arahan’ ini sangat luas (tafsirannya) dan berkesan seperti ‘pemecatan’ tetapi secara teknikalnya bukan, kerana ia berlaku secara automatik justeru tidak perlu budi bicara dan tiada proses rayuan.”

Chin Huat percaya kesannya akan dirasai sehingga ke Parlimen.

“Jika parti-parti dalam sebuah kerajaan bermajoriti mudah mengambil langkah ini, maka kerajaan ini akan dapat menjanjikan kemenangannya dalam sebarang undian Usul atau rang undang-undang (di Parlimen).

“Parlimen akan menjadi ‘pak turut’ kepada kuasa eksekutif. Ini akan merosakkan demokrasi dan mengesahkan kebimbangan terhadap undang-undang anti-lompat yang terlalu kuat.”

Sementara itu, penganalisis Oh Ei Sun berkata, langkah seperti yang diambil DAP itu suatu kompromi untuk memastikan kestabilan politik selepas kerajaan dijatuhkan oleh wakil-wakil rakyat yang bertukar parti “untuk kepentingan diri sendiri”.

“Terdapat keperluan yang ditunjukkan untuk menghalang sikap anti-demokratik sedemikian,” katanya.

“Amalan demokrasi partisan kita agak terperangkap di kedudukan yang sukar. Dalam demokrasi yang matang, wakil rakyat sepatutnya lebih bebas untuk mengundi mengenai perkara awam mengikut ideologi dan hati nurani. Kita berharap suatu hari nanti akan sampai ke peringkat itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.