
“Majikan Malaysia bebas mengupah pembantu rumah dari mana-mana negara yang mereka suka.
“Tetapi bagi Indonesia, jika kami dapati mana-mana agensi mengenakan bayaran melebihi RM15,000, agensi itu akan dilarang daripada mengambil pekerja kami.
“Saya nasihatkan mana-mana majikan yang dikenakan bayaran tinggi agar melaporkan agensi itu kepada kedutaan dan kami akan mengambil tindakan segera,” katanya kepada FMT.
Hermono berkata, Indonesia akan memastikan semua klausa dalam MoU mengenai pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia dipatuhi setiap masa.
Beliau mengulas laporan The Star hari ini yang memetik perunding pekerjaan sebagai berkata, mereka yang ingin mengupah pembantu rumah Indonesia mungkin terpaksa membayar “kos tersembunyi” sebagai tambahan kepada had bayaran RM15,000 itu.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia, Zarina Ismail, berkata walaupun had harga yang dikenakan kerajaan adalah munasabah, segelintir agensi mungkin mengenakan bayaran tambahan bagi perkhidmatan lain yang perlu mereka tanggung.
Katanya, agensi bertanggungjawab ke atas pembantu rumah yang mereka bawa masuk sepanjang tempoh kontrak atau sehingga pembantu rumah dihantar pulang.
“Oleh itu, agensi-agensi ini akan bersedia untuk dihubungi majikan 24 jam, dengan ada antaranya yang membuat aduan pada 1 pagi,” katanya.
Beliau juga berkata, caj tambahan itu mungkin dikenakan disebabkan oleh risiko yang diambil oleh beberapa agensi berikutan MoU.
Oleh itu, katanya, agensi-agensi mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” dan tidak berminat mendapatkan pembantu rumah Indonesia buat masa ini.