Hentikan pemasaran menerusi telefon dan e-mel untuk bendung penipuan, saran pakar

Hentikan pemasaran menerusi telefon dan e-mel untuk bendung penipuan, saran pakar

Pakar keselamatan siber menggesa agar bank, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi menggunakan kaedah pemasaran lain bagi melindungi pengguna.

Menurut polis, sebanyak 12,092 kes penipuan dalam talian dilaporkan dari Januari hingga Julai, membabitkan kerugian berjumlah RM414.8 juta.
PETALING JAYA:
Seorang pakar keselamatan siber menggesa agar bank tidak lagi menggunakan kaedah pemasaran menerusi telefon (telepemasaran) dan e-mel bagi melindungi pelanggan daripada penipuan dalam talian, yang semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Censof Digital Vicks Kanagasingam memuji Bank Negara Malaysia (BMM) kerana mengumumkan beberapa langkah untuk membendung penipuan dalam talian tetapi menggesa bank, syarikat telekomunikasi dan Putrajaya agar mengambil tindakan lebih tegas bagi menghalang penipu terus memperdaya rakyat Malaysia.

Beliau berkata, penipu sering menggunakan panggilan telefon dan e-mel untuk menjerat mangsa, dan larangan serta-merta perlu dikeluarkan terhadap pemasaran menerusi telefon dan e-mel oleh institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

Sebaliknya, bank dan institusi kewangan boleh menggunakan media sosial, televisyen, radio atau sebarang bentuk media fizikal lain, katanya kepada FMT.

“Serahkan kepada pengguna untuk menghubungi mereka bagi mendapatkan perkhidmatan atau tawaran.”

Seorang lagi pakar keselamatan siber, Murugason Thangaratnam berkata, undang-undang mengenai keselamatan siber perlu digubal, dan Akta Perlindungan Data Peribadi dipinda.

Katanya, hukuman yang lebih berat harus dikenakan terhadap penipu.

“Undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber sangat memerlukan kemas kini,” katanya.

Sebanyak 12,092 kes penipuan dalam talian dilaporkan dari Januari hingga Julai, membabitkan kerugian berjumlah RM414.8 juta, menurut polis.

Pada 26 Sept, BNM memberitahu bank untuk beralih daripada sistem kata laluan sekali guna kepada bentuk-bentuk pengesahan yang lebih selamat bagi urusan dalam talian.

Bagaimanapun, Vicks berkata, langkah ini masih akan gagal membendung “Macau scam” dan penipuan menerusi SMS.

Katanya, pusat operasi keselamatan siber perlu diwujudkan supaya orang ramai boleh mendapatkan bantuan segera apabila terjerat dengan penipuan.

Pusat ini harus merangkumi agensi-agensi seperti BNM, Kementerian Kewangan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cybersecurity Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Negara.

“Pusat ini harus dilihat sebagai talian ‘999’ bagi keselamatan siber dan aktiviti penipuan kewangan,” katanya.

“Orang ramai harus tahu hanya satu nombor bagi mendapatkan bantuan atau melaporkan aktiviti penipuan atau jenayah siber.”

Tambahnya, pusat operasi ini patut dibiayai bank, firma insurans dan syarikat telekomunikasi.

Bagaimanapun, Murugason menegaskan bahawa tiada penyelesaian “ajaib” bagi masalah ini. Pengguna masih perlu berwaspada dengan penipu, katanya.

Ekosistem keselamatan siber dan perlindungan data yang sempurna hanya akan berfungsi dan selamat jika “pemberi data berhati-hati dan pengambil data bertanggungjawab”, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.