Sekumpulan pelancong termasuk kanak-kanak jatuh sakit selepas bercuti di P Perhentian

Sekumpulan pelancong termasuk kanak-kanak jatuh sakit selepas bercuti di P Perhentian

Mereka dikatakan mengalami mual dan muntah-muntah susulan percutian ke pulau itu, malah ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital.

Pulau Perhentian Kecil mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari Kuala Besut di Terengganu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Percutian tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil berakhir sebagai mimpi ngeri untuk sekumpulan 40 pelancong yang jatuh sakit selepas berenang di perairan berkenaan.

Hasan Yahaya antara kumpulan merangkumi 27 dewasa, tujuh kanak-kanak dan enam kanak-kanak kecil. Beliau memberitahu FMT, kesemuanya mula mengalami mual dan muntah-muntah selepas percutian di perairan Terengganu itu, baru-baru ini.

“Ada yang sudah mula rasa tidak sedap hati ketika percutian itu tetapi kami tidak terlalu memikirkannya. Kami menyangka apa dirasai mungkin disebabkan terdedah terlalu lama dengan terik matahari atau sekadar mabuk laut,” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada kumpulan itu mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus selepas pulang dan beberapa dimasukkan ke hospital.

Seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak kecil mengalami keracunan darah, katanya.

Hasan berkata, dia kini tertanya-tanya sama ada air kumbahan mentah telah meresap ke dalam laut.

Terdapat sekitar 50 resort di Pulau Perhentian, yang terletak kira-kira 22km dari Kuala Besut, iaitu pelayaran 45 minit menaiki bot.

Pada Jun, FMT melaporkan enam wanita mengalami keracunan makanan walaupun mematuhi nasihat supaya hanya makan makanan di resort tempat mereka menginap disebabkan “kes keracunan makanan yang semakin meningkat”.

Pengunjung ke pulau itu meninggalkan komen negatif di laman web percutian popular, termasuk mengakui mengalami cirit-birit dan muntah-muntah selepas bercuti di situ.

Hasan berkata, aduan telah dibuat kepada pengurusan resort, selain laporan kepada Jabatan Kesihatan Kuala Besut dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, setakat ini hanya KKM memberi maklum balas dengan meminta butiran mereka yang dimasukkan ke hospital, namun yang lain hanya berdiam diri.

“Mereka seolah-olah tidak memandang serius perkara ini. Ia merosakkan reputasi mereka malah mengakibatkan kos tambahan bagi mereka yang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Pihak relevan mesti mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini, jika tidak ia akan memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan negara,” katanya.

FMT telah menghubungi pihak pengurusan resort, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan Kuala Besut untuk mengulas perkara itu, tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.