Hutang dipercayai punca ahli perniagaan diculik di Ampang

Hutang dipercayai punca ahli perniagaan diculik di Ampang

Polis berkata mangsa ditarik sekumpulan lelaki ke dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire namun dibebaskan beberapa jam selepas itu.

Tangkap layar video tular menunjukkan penunggang motosikal mengejar dan cuba menahan kenderaan yang melarikan mangsa.
PETALING JAYA:
Hutang dipercayai menjadi punca seorang lelaki diculik sekumpulan individu di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah, Ampang, semalam.

Video kejadian itu tular di media sosial, menunjukkan mangsa ditarik sekumpulan lelaki ke dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih.

Satu rakaman video juga memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar dan cuba menahan kenderaan itu untuk menyelamatkan mangsa.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata ketika kejadian mangsa seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun berada seorang diri di restoran itu untuk makan.

“Semasa di dalam restoran berkenaan, sekumpulan lelaki dipercayai warga tempatan datang dan terus menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam Toyota Vellfire putih.

“Mangsa menjerit meminta tolong dan cuba melepaskan diri namun tidak berjaya. Mangsa dilarikan menaiki Toyota Vellfire dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun dilepaskan suspek di Klang dan membuat laporan polis berhubung kejadian kira-kira 10.45 malam hari sama.

“Mangsa hadir ke balai polis dalam keadaan muka dan kakinya cedera,” katanya.

Farouk berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang antara mangsa dengan pihak majikan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek dan dalang kejadian culik itu giat dilakukan,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang.

Dalam pada itu, Farouk berterima kasih kepada orang awam yang cuba membantu dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.