Guna MyKad untuk dokumen penerima bantuan kebajikan, saran Yeoh

Guna MyKad untuk dokumen penerima bantuan kebajikan, saran Yeoh

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, pertindihan pelaksanaan program kebajikan menyebabkan berlakunya pembaziran.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, terdapat seorang pekerja kebajikan bagi setiap 8,000 rakyat.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak menggunakan data yang dimilikinya untuk menyelaraskan program kebajikan sosialnya, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Beliau mencadangkan agar MyKad, yang merupakan kad pintar, dimanfaatkan untuk membolehkan pihak berkuasa dan agensi berkaitan mengesan bantuan yang diagihkan.

Ini akan menunjukkan sama ada seseorang itu sudah menerima bantuan, katanya pada sesi perbincangan sebelum Belanjawan 2023.

Yeoh turut berkata menggesa kebajikan kanak-kanak dan orang kurang upaya, yang kini di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), diuruskan oleh agensi atau kementerian masing-masing.

“Kebajikan kanak-kanak adalah satu daripada banyak bahagian dalam Jabatan Kebajikan, bermakna ia tidak mempunyai pembiayaan atau tenaga kerja yang mencukupi,” kata bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu.

“Bagi OKU, kita masih bercakap tentang kesedaran tentang hak mereka, bukan penguatkuasaan lagi, kerana kekurangan kakitangan,” katanya sambil menambah bahawa nisbah semasa pekerja kebajikan adalah satu untuk setiap 8,000 rakyat.

Beliau juga berkata pertindihan dalam pelaksanaan program kebajikan mengakibatkan pembaziran.

“Kita ada sekurang-kurangnya 110 program kebajikan tetapi hanya 10% daripada Jabatan Kebajikan, bermakna 90% datang daripada kementerian, agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain.

“Sebagai contoh, dengan program kembali ke sekolah, kita dapati ketika lawatan, seorang kanak-kanak boleh mempunyai lima beg sekolah dengan logo syarikat berbeza,” katanya.

Yeoh juga menyeru agar lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja.

“Pada masa ini, hanya 54% wanita bekerja. Yang lain perlu menjaga ibu bapa dan anak-anak mereka,” katanya, mencadangkan supaya “ekonomi penjagaan” diwujudkan untuk membolehkan mereka bekerja.

Sebagai contoh, katanya, guru boleh dibayar elaun supaya anak-anak boleh tinggal di sekolah semasa ibu bapa mereka bekerja.

“Dengan berbuat demikian, infrastruktur yang tidak digunakan boleh digunakan. Kami hanya perlu membayar elaun kepada guru, dan kanak-kanak tidak perlu pergi ke pengasuh. Ia adalah situasi menang-menang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.