Bajet 2023: Kembalikan peruntukan kelengkapan sekolah Orang Asli, kerajaan digesa

Bajet 2023: Kembalikan peruntukan kelengkapan sekolah Orang Asli, kerajaan digesa

Kelengkapan persekolahan ialah keperluan asas Orang Asli, dan menjadi sebahagian langkah menarik minat mereka untuk ke sekolah, kata Ajis Sitin.

Wakil Orang Asli di Dewan Negara Senator Ajis Sitin menggesa kerajaan agar memberi perhatian terhadap 10 isu melibatkan Orang Asli dalam pembentangan Bajet 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Orang Asli menggesa kerajaan memberi perhatian lebih kepada kumpulan itu dalam Bajet 2023, termasuk mengembalikan peruntukan bagi kelengkapan pakaian sekolah kepada 40,000 pelajar mereka di seluruh negara.

Wakil Orang Asli di Dewan Negara Senator Ajis Sitin menyenaraikan isu kelengkapan sekolah itu sebagai antara 10 perkara yang wajar diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembentangan belanjawan pada 7 Okt ini.

“Sejak zaman saya sekolah lagi, kerajaan bagi semua pakaian sekolah, sekarang macam tiada. Ini keperluan asas dan sebahagian langkah menarik minat Orang Asli ke sekolah,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mengharapkan lebih banyak sekolah sehingga Tingkatan 5 dibina di kawasan perkampungan Orang Asli bagi memastikan minat mereka terhadap persekolahan tidak terjejas.

Ajis Sitin.

“Kebanyakan mereka apabila masuk tingkatan (sekolah menengah), perlu bergaul dengan masyarakat luar jadi mereka rasa tercabar, selain kos perbelanjaan tinggi bila keluar (dari kampung untuk bersekolah).

“Jadi biarlah mereka belajar sampai Tingkatan 5 di kampung, selepas itu (apabila) mereka sudah matang, boleh keluar bergaul dengan masyarakat luar,” katanya.

Tambahnya, bagi memperkasakan pendidikan Orang Asli, beliau juga berharap kerajaan meletakkan syarat minimum untuk menyambung pelajaran ke luar negara dan Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi kumpulan itu, selain mengembalikan semula kuota setiap tahun belajar di luar negara yang dihentikan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Ajis juga menuntut kerajaan meningkatkan peruntukan bagi tujuan pembangunan ekonomi Orang Asli termasuk peluasan kawasan Tanaman Sawit Komersial (TSK) bagi menampung pertambahan Ketua Isi Rumah (KIR) baharu, yang tidak pernah ditambah sejak dilancarkan pada 2000.

“Menerusi pembangunan ekonomi, kami juga berharap kerajaan mewujudkan sekretariat usahawan Orang Asli di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi memantau kegiatan usahawan di kawasan perkampungan termasuk setiap perbelanjaan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar gerai tersusun diwujudkan untuk membolehkan Orang Asli berniaga, selain peruntukan khas bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman padi huma sebagai hasil pendapatan.

Ajis berkata, selain memfokuskan kepada pembangunan ekonomi, kerajaan juga diharapkan memberi penekanan menyeluruh terhadap pembangunan prasarana.

Hal ini kerana banyak kawasan penempatan masih daif dan memerlukan jalan raya dan kediaman selesa melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Beliau turut meminta peruntukan khas untuk membina pagar bagi memastikan risiko konflik manusia dan binatang buas lebih terkawal.

Pada masa yang sama, Ajis menggesa kerajaan agar membuka ruang untuk lebih ramai graduan Orang Asli berkhidmat di Jakoa memandangkan mereka pasti lebih memahami keperluan masyarakat sendiri berbanding orang luar.

Bantuan kebajikan kesihatan juga perlu diberi perhatian termasuk dari segi makanan berzat, kemudahan hospital serta pengangkutan untuk mendapatkan rawatan perubatan, katanya.

Perkara lain yang wajar diberi penekanan, katanya, ialah penyediaan peruntukan khas bagi pembangunan sosioekonomi suku Mas Negrito yang jauh ketinggalan, selain kos bagi kerja ukur tanah kawasan rizab, serta peruntukan bagi menggerakkan aktiviti belia kaum itu.

Beliau turut menggesa agar Orang Asli diberi cuti umum pada 9 Ogos, iaitu Hari Orang Asal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagaimana Hari Gawai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.