2 lelaki ditahan miliki mercun tanpa permit bernilai RM400,000

2 lelaki ditahan miliki mercun tanpa permit bernilai RM400,000

Sebanyak 715 kotak mercun ditemui dalam sebuah rumah kedai dekat dekat Tanjung Rambutan.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata dua lelaki ditahan selepas polis menemui mercun disimpan tanpa permit dalam rumah kedai.
IPOH:
Polis menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dipercayai tanpa permit bernilai kira-kira RM400,000 di sebuah rumah kedai dekat Tanjung Rambutan, di sini semalam.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suspek berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira 5.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hasil maklumat diterima pihaknya.

“Hasil daripada operasi dijalankan, polis berjaya menangkap dua individu tersebut bersama rampasan sebuah lori dan 715 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Siasatan awal mendapati kesemua mercun dan bunga api dirampas adalah disimpan tanpa permit dalam rumah kedai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 3 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.