
Penafian itu susulan beberapa individu yang mendakwa sebagai bekas pemimpin Muda, mengatakan mereka berdepan risiko dipecat parti sekiranya bercakap secara terbuka.
Ada juga beberapa individu yang mengaku ahli Muda, juga mendakwa diberikan peringatan supaya tidak mengkritik parti di media sosial.
Ditanya berhubung perkara itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, berkata adalah baik semua ahli dalam Muda mengkritik parti, sambil menambah beliau sendiri menerima kritikan sebagai presiden parti.
“Sebagai presiden, saya pernah dikritik dan saya menerima kritikan membina yang saya fahami adalah untuk menjadikan parti lebih baik.
“(Bagaimanapun) ada saluran disediakan dalam parti bagi tujuan itu. Kita mempunyai organisasi dan biro disiplin untuk anda menyuarakan rasa tidak puas hati,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama beberapa pemimpin politik lain.
Terdahulu, polis merakam keterangan mereka berhubung himpunan, pada Sabtu, sebagai membantah pelaksanaan pilihan raya umum ketika musim monsun.
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz dan ahli jawatankuasa eksekutif pusat, Nurainie Haziqah Shafii, ADUN Taman Templer Sany Hamzan dan ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei antara dipanggil polis.
Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan polis merekodkan kenyataan membabitkan tujuh individu.
Difahamkan, penganjur tidak memberi sebarang makluman kepada polis berhubung himpunan seperti dikehendaki undang-undang.