Santiago tak rancang kosong kerusi Klang

Santiago tak rancang kosong kerusi Klang

Ahli Parlimen DAP itu menyuarakan penghargaannya kepada individu yang menyokongnya selepas dilaporkan beliau akan memberi laluan kepada Ean Yong Hian Wah pada PRU15.

Charles Santiago, yang telah menjadi Ahli Parlimen Klang selama tiga penggal, berkata beliau masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan, terutamanya jika banjir melanda lagi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Charles Santiago daripada DAP tidak bercadang mengosongkan kerusi Parlimen Klang, walaupun terdapat laporan mendakwa ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah akan menggantikannya sebagai calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dalam catatan ringkas di Facebook, Santiago menyuarakan penghargaannya kepada individu yang menyokongnya susulan laporan media bahawa beliau akan memberi laluan kepada Yong pada PRU15.

“Saya ada mesyuarat tergempar yang perlu dihadiri untuk merancang respons kecemasan dan pengagihan bantuan jika banjir berterusan pada musim tengkujuh ini. Dan itu termasuk taklimat kesiapsiagaan banjir pada minggu depan Oktober.

“Saya berjanji akan membaca artikel itu sehingga habis dan memberi respons sebaik saja kami memuktamadkan rancangan tebatan banjir kami. Inilah fokus saya sekarang kerana banjir membawa kesan besar terhadap kehidupan dan punca pendapatan rakyat.”

Semalam, The Star memetik sumber DAP sebagai berkata, Yong yang telah menjadi ADUN Seri Kembangan selama tiga penggal akan dicalonkan untuk kerusi Parlimen Klang menggantikan Santiago.

Laporan itu mendakwa 28 cawangan DAP di Selangor menyokongnya dan perjanjian itu sudah “90% selesai”.

Santiago menjadi Ahli Parlimen Klang selama tiga penggal sejak 2008.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.