
Pesuruhjaya Kehakiman Tee Geok Hock dalam penghakiman menerusi emel petang tadi berkata, A Sivanesan berjaya membuktikan kesnya terhadap defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Beliau mengarahkan petani, Poh Wai Sheng supaya membayar ganti rugi RM50,000; Foong Pek Yee (RM70,0000) dan Star Media Group Bhd (RM200,000).
Tee bagaimanapun menolak saman Sivanesan terhadap Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA Wee Ka Siong, bagi komen dibuat di Facebooknya berdasarkan artikel terlibat.
Selain itu, Tee memerintahkan Poh, Foong dan The Star menerbitkan permohonan maaf kepada Sivanesan dalam portal berita, selain versi bercetak.
Pada 4 Ogos 2018, artikel berunsur fitnah telah diterbitkan di akhbar itu, dengan versi dalam talian, berdasarkan maklumat diberikan Poh kepada Foong.
Isunya adalah berkaitan penebangan pokok buah di tanah kerajaan negeri di Kampung Kuala Bikam berhampiran Bidor, didakwa dilakukan oleh anak syarikat Menteri Besar Incorporated.
Sivanesan ketika itu exco dan ADUN Sungkai di mana tanah itu terletak.
Peguam R Kengadharan, Nagarajan Loganathan, dan S Lavinya mewakili Sivananesan. Poh diwakili Ng Kian Nam, manakala Yee Mei Ken hadir bagi pihak Foong dan The Star. Peguam Ang Boon Heng mewakili Wee.