
Kad NFC TnG dijual pada harga RM10 di lokasi stesen minyak terpilih atau menerusi transaksi dalam talian menggunakan aplikasi TnG. Bagaimanapun, bekalan kad itu, yang mula dijual pada April tahun ini, dilaporkan terhad di saluran berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, Bahagian Penguatkuasa kementeriannya menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC TnG dan mengesan 13 iklan jualan kad berkenaan membabitkan beberapa platform dalam talian.
Berdasarkan siasatan awal, katanya, penjualan kad NFC TnG itu turut membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak.
“Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC TnG yang asalnya berharga RM10 tanpa kredit di dalamnya pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian,” katanya dalam kenyataan.
Nanta berkata, berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes berkenaan.
Tambahnya, enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut maklum balas atau penjelasan rasmi dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP.
Jika gagal berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011, kata Nanta.
Menteri itu berkata, KPDNHEP dijangka mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG minggu ini bagi mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad tersebut.
Kad NFC TnG membolehkan pengguna menambah nilai pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet di peranti mudah alih, tanpa sebarang surcaj.