
ADUN Pasir Pinji, Howard Lee, berkata sekiranya PH membentuk kerajaan pusat, parti itu akan membentangkan Pelan Kesiagaan Ekonomi Penjagaan dan Masyarakat Menua Nasional (SiagaJaga) di Parlimen.
“Dalam ekonomi yang semakin mencabar, memenuhi tanggungjawab penjagaan warga berusia tersayang berkemungkinan menjadi penghalang kepada sesetengah golongan daripada mencapai potensi kerjaya mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP.
Lee berkata, keperluan penjagaan sudah pasti meningkat mendadak mengambil kira peningkatan peratusan populasi menua. Beliau juga merujuk kepada statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengunjurkan 17% populasi rakyat Malaysia berusia 65 tahun dan ke atas, menjelang 2045.
Katanya, SiagaJaga akan berusaha memprofesionalkan sektor penjagaan, menyediakan sokongan dan elaun penjagaan, termasuk insentif cukai bagi majikan yang menyediakan penjaga.
Beliau berkata, justeru, kerajaan boleh berbuat demikian menerusi suntikan pelaburan awam serta menggalakkan pelaburan swasta. Usaha sama awam-swasta boleh juga diteroka.
Lee berkata, SiagaJaga juga sudah dibincangkan jawatankuasa pelan tindakan PRU15, namun Majlis Presiden PH belum lagi meluluskannya menjadi sebahagian daripada manifesto gabungan itu.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berkata SiagaJaga akan memastikan penyertaan tenaga kerja wanita, memandangkan mereka sering dijadikan penjaga secara tidak rasmi untuk menjaga ibu bapa dan anak-anak.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, berkata PRU15 bukan saja berkisar mengenai jumlah kerusi dimenangi dan siapa yang akan membentuk kerajaan, bahkan lebih kepada dasar yang membawa negara ke hadapan.
Ditanya berhubung laporan The Star mendakwa ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah akan dicalonkan di Parlimen Klang menggantikan penyandang Charles Santiago, Liew secara ringkas memberitahu pemberita supaya bertanya hal itu kepada DAP Selangor.