
Di sebalik tuduhan bahawa MPN tidak berfungsi dengan baik dalam memacu pemulihan, Muhyiddin menjelaskan cadangan dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri menerusi memorandum pada 18 Mei, berkenaan menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).
Ini termasuk cadangan spesifik membenarkan bank meneruskan program moratorium untuk PMKS, katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hanya memaklumkan pada bulan ini bahawa beliau akan membincangkan perkara itu dengan kementerian berkaitan sebelum membuat keputusan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar minggu lepas berkata, beliau akan mempertimbangkan cadangan itu.
“Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,” kata Muhyiddin dalam kenyataan.
Pengerusi MPN itu akui kehairanan dan tertanya adakah Jemaah Menteri Ismail tidak membincangkan cadangan-cadangan MPN itu dalam mesyuaratnya lebih empat bulan lalu.
“Ini sesuatu yang agak mengecewakan. Suatu perakuan penting MPN kepada Jemaah Menteri untuk membantu memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37% kepada KDNK tidak mendapat perhatian segera kerajaan.”
Secara keseluruhan, MPN mengemukakan 95 saranan untuk dipertimbangkan pentadbiran Ismail, dengan 69 daripadanya membabitkan isu sosio-ekonomi dan 26 berkaitan tadbir urus, katanya.
Daripada 86 saranan yang telah diluluskan, hanya 16 saranan telah dilaksanakan sepenuhnya, 30 sedang dalam proses pelaksanaan, manakala 14 masih belum dilaksanakan.
“Saya tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa. Tujuan saya (mengatakan perkara ini) adalah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini.
“Walaupun terdapat petunjuk-petunjuk positif dari segi kadar pertumbuhan, kadar penggunaan, kadar pengangguran dan lain-lain, petunjuk-petunjuk ini adalah sementara sebelum negara kita berhadapan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan.
“Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan sekarang, rakyatlah yang akan menanggung sengsara,” katanya.
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional, menegaskan bahawa MPN hanyalah badan penasihat kepada kerajaan tanpa kuasa pelaksanaan, walaupun ia dianggotai menteri-menteri yang bertanggungjawab atas kewangan, perdagangan, pertahanan, kerja raya, pendidikan, kesihatan, dan ekonomi.
“Sebagai pengerusi MPN, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri atau ketua setiausaha kementerian atau ketua pengarah jabatan kerajaan (untuk) mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepat proses pemulihan negara.
“Kuasa ini terletak di tangan perdana menteri dan Jemaah Menteri.
“Saya berharap perdana menteri dan kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat dan meringankan beban rakyat,” katanya.