Hakim kes Zahid boleh membandingkan penghakiman Rosmah, kata Sri Ram

Hakim kes Zahid boleh membandingkan penghakiman Rosmah, kata Sri Ram

Kes penghakiman Rosmah Mansor boleh digunakan sebagai duluan, kata pendakwa ad hoc sebagai menyangkal dakwaan dibuat peguam isteri kepada bekas perdana menteri itu.

Pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram, berkata rayuan yang sedang berjalan tidak menghalang penghakiman menjadi muktamad sehingga pembalikannya.
PETALING JAYA:
Pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram menyanggah alasan peguam Rosmah Mansor berhubung hakim Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh menggunakan kes isteri bekas perdana menteri itu sebagai perbandingan.

Sri Ram memberitahu FMT, berkata penghakiman dalam kes Rosmah menjadi autoriti berpengaruh walaupun rayuan bagi kes terbabit telah dibuat.

Katanya, tidak menjadi kesalahan bagi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa bergantung kepada penghakiman Rosmah sebagai perbandingan.

“Penghakiman pendakwa raya vs Rosmah Mansor boleh digunakan sebagai duluan.

“Rayuan yang sedang berjalan tidak menghalang penghakiman menjadi muktamad sehingga pembalikannya. Sebarang kerja standard berhubung subjek itu akan mengesahkan peraturan asas ini,” katanya kepada FMT menerusi mesej teks.

Awal hari ini, seorang peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, berkata Yazid yang membebaskan presiden Umno terkhilaf menggunakan kes anak guamnya untuk membezakan fakta.

Akberdin berkata, rujukan fakta dalam kes rasuah projek solar Rosmah adalah tidak matang kerana rayuan sedang berjalan di Mahkamah Rayuan.

Pada 1 Sept, hakim lain, Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah dan dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan denda RM960 juta.

Dalam membebaskan Zahid tanpa perlu membela diri, pada Jumaat, Yazid berkata, beliau tidak dapat membayangkan Zahid menerima SD600,000 dalam sampul memandangkan tiada sampul dikemukakan sebagai keterangan.

Yazid kemudian membandingkan kes Rosmah di mana keterangan didedahkan bahawa rasuah dibayar kepadanya dalam wang tunai dibahagikan kepada dua beg RM2.5 juta setiap satu, manakala penghantaran kedua, RM1.5 juta dibuat dalam dua beg.

Zahid, 69, didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) dari Ultra Kirana Sdn Bhd, antara 2014 dan 2018 ketika menjadi menteri dalam negeri.

Beliau juga dituduh dengan tujuh pertuduhan mendapatkan bagi dirinya sejumlah SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 swiss francs dan USD15,000 dari syarikat sama berkaitan tugasan rasminya.

Semalam, pendakwaan memfailkan rayuan terhadap pembebasan Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.