
Pensyarah kanan kejuruteraan awam Universiti Putra Malaysia, Balqis Mohamed Rehan bersetuju bahawa tembok banjir jauh lebih berkesan daripada beg pasir yang digunakan DBKL sebagai langkah sementara disebabkan sifat strukturnya.
“Tidak seperti beg pasir, dinding (tembok banjir) direka untuk kedap air dan mempunyai ketegaran.”
Bagaimanapun, Balqis berkata, keberkesanan tembok banjir bergantung kepada jenis yang akan digunakan, sama ada kekal atau buka pasang.
“Tembok banjir kekal adalah yang paling berkesan dari segi keselamatan kerana ia biasanya diperbuat daripada konkrit dan tidak perlu dipasang semasa banjir kilat.
“Satu-satunya kelemahannya adalah ia boleh menghilangkan nilai estetik persekitaran sekeliling secara kekal,” katanya.
Sebaliknya, tembok banjir buka pasang terdiri daripada panel yang diperbuat daripada bahan yang ringan tetapi tahan lasak seperti keluli dan plastik yang boleh ditanggalkan apabila tidak diperlukan.
“Tetapi (tembok banjir) jenis ini hanya boleh menahan kedalaman banjir tertentu, jadi banjir yang lebih dalam daripada tahap itu boleh menyebabkan panel-panelnya tergelongsor disebabkan tekanan bendalir yang tinggi,” kata Balqis.
Pada 18 Sept, Datuk Bandar Mahadi Che Ngah berkata, DBKL sedang mencari reka bentuk yang sesuai untuk tembok banjir.
Pakar kesiapsiagaan dan pengurusan bencana Khamarrul Azahari Razak daripada Universiti Teknologi Malaysia menasihatkan agar pihak berkuasa tidak tergesa-gesa mereka bentuk dan membina tembok banjir walaupun musim tengkujuh semakin hampir.
“Tidak boleh ada kepincangan dari segi reka bentuk atau pembinaan; jika tidak, tembok akan runtuh dan itu akan menggagalkan tujuannya.
“Skim pencegahan jangka panjang (juga) diperlukan selepas pembinaan,” tambahnya.