
Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, berkata wang terbabit dimasukkan dalam sembilan transaksi ke akaun milik bekas perdana menteri itu yang berakhir dengan digit “9694”.
Katanya, jumlah sebenar dipindahkan adalah dalam US dolar bernilai USD681 juta.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-37, tidak memperincikan sumber dana berkenaan ketika membaca penyataan saksi.
Dalam pernyataan pembukaan pihak pendakwaan sebelum ini, mendakwa sejumlah RM2 bilion dimasukkan dalam akaun itu berpunca daripada syarikat berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Bagaimanapun, pihak pembelaan menegaskan ia datang daripada derma Arab.
Berdasarkan pernyataan pembukaan, Uma Devi juga berkata, antara 2 dan 23 Ogos 2013, sebanyak RM2.03 bilion dikeluarkan dan dihantar ke Tanore Singapore.
Dalam pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, Uma Devi berkata, akaun berakhir dengan “9694” adalah akaun semasa biasa.
Najib mempunyai lima akaun dengan AmBank antara 2011 dan 2015.
Katanya, Najib juga mempunyai akaun simpanan berakhir “1481” dan tiga akaun semasa – berakhir dengan “1880”, “1906” dan “1898”.
Uma Devi berkata, “pihak pengurusan atasan” memberikan kelulusan kepada akaun Najib untuk menamakannya sebagai “AmPrivate Banking-1MY”.
“Berdasarkan pengetahuan saya, tiada pelanggan bank diberikan keistimewaan seperti itu,” katanya sambil menambah hanya pengurus perhubungan dan pengurus cawangan bank boleh mendapatkan akses kepada akaun Najib.
Uma Devi berkata, Najib bertanggungjawab penuh terhadap transaksi perbankan dilakukan.
“Ia tidak diberitahu kepadanya, namun ia termaktub dalam terma dan syarat,” katanya.
Awal hari ini, beliau memberitahu mahkamah bahawa kira-kira RM90 juta dimasukkan dalam akaun bank Najib berakhir dengan 9694, pada penghujung 2012.
Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.