Kumpulan pemilik gesa P Pinang kaji semula sekatan inap desa

Kumpulan pemilik gesa P Pinang kaji semula sekatan inap desa

Kumpulan itu berkata ia boleh menyebabkan masalah kewangan kepada pemilik dan mengehadkan pilihan kepada pengembara.

Kerajaan Pulau Pinang merancang untuk memperkenalkan had ke atas inap desa di bangunan bertingkat pada Januari. (Gambar penangpropertytalk.com)
PETALING JAYA:
Kumpulan pemilik inap desa menyertai gesaan agar kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan semula cadangan sekatan ke atas penginapan sewa jangka pendek di bangunan bertingkat.

Persatuan Pengamal Inap Desa (Sewaan Jangka Pendek) Malaysia berkata sekatan itu termasuk had 180 hari sewa setahun, memberi pilihan terhad untuk pengembara yang mencari penginapan mampu milik dan akan menyukarkan pemilik membayar pinjaman perumahan mereka.

“Bangunan pangsapuri kami dibina khusus untuk tujuan sewaan,” kata Presidennya, Lydia Teh, dalam satu kenyataan.

“Kami telah dijanjikan oleh pemaju bahawa pangsapuri kami boleh disewa secara sah, dan kami membayar semua tarif dan cukai pada kadar hak milik komersial.

“Kedua, had sewa yang dicadangkan 180 hari setahun dan tiga hari seminggu tidak sesuai untuk penyewaan jangka pendek apabila ia merupakan pilihan utama penginapan perjalanan untuk ratusan ribu pengembara antarabangsa dan domestik.”

Teh berkata penyewaan jangka pendek telah memberi sumbangan ketara terhadap pelancongan negeri sejak sedekad lalu dan pengesahan mana-mana industri perlu dibincangkan dengan semua pihak berkepentingan untuk mencari jalan tengah.

Katanya, inap desa telah membantu mengurangkan isu hartanah kosong di negeri ini sambil mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Bersama-sama, kita harus menyokong dan mengekalkan pelancongan Pulau Pinang, dan bukannya menghapuskan secara tidak adil industri yang telah banyak menyumbang kepada sektor pelancongan tempatan kita,” katanya.

Kumpulan itu menyertai syarikat hospitaliti global Airbnb, yang menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mempertimbangkan semula had yang dicadangkan ke atas inap desa bulan lepas.

Selain had 180 hari setahun, kerajaan negeri telah mencadangkan agar inap desa di bangunan strata komersial dilarang melainkan 75% pemilik hadir pada mesyuarat agung untuk mengundi membenarkan inap desa di bangunan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri,Jagdeep Singh Deo, berkata larangan dalam bentuk “garis panduan” itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.