
Walaupun Takiyuddin tidak menyebut secara langsung kenyataan itu ditujukan kepada pemimpin politik mana, namun ia jelas merujuk kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai “musuh utama”.
Takiyuddin berkata, seluruh pimpinan dan ahli diminta akur serta memberikan wala’ (kepatuhan) kepada arahan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin agar semua pihak menginginkan perpaduan dan kestabilan negara perlu menghayati serta merealisasikan agenda penyatuan ummah.
“Sehubungan dengan itu, PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.
“Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, PAS sentiasa komited untuk melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“PAS sentiasa yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti utama Melayu-Islam dalam negara ini sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya,” katanya.
Pada Sabtu, Muhyiddin ketika menghadiri majlis ulang tahun ke-6 Bersatu, mengingatkan ahli partinya bahawa BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan, pada PRU15.
Bekas perdana menteri yang juga Presiden Bersatu, berkata parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.
Selain PAS, komponen PN turut merangkumi Gerakan, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).