Bajet 2023: Kerajaan digesa fokus kembang model ekonomi gig

Bajet 2023: Kerajaan digesa fokus kembang model ekonomi gig

Jika dilaksanakan dengan sempurna, ekonomi gig dilihat sebagai satu bentuk model yang membolehkan penyertaan rakyat secara inklusif dalam ekonomi digital, sekali gus menjana ekonomi.

Berdasarkan data program MDEC sejak 2016 hingga Jun 2020, pendapatan sejumlah RM2.86 bilion telah diraih oleh pekerja gig.

KUALA LUMPUR Kerajaan diminta memberi fokus kepada pengembangan model ekonomi gig atau ekonomi perkongsian yang bernilai tinggi bagi membolehkan pekerja gig mendapat bimbingan sewajarnya, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pengarah Jabatan Penerimagunaan Digital MDEC Mohd Redzuan Affandi Abdul Rahim berkata, ia bertujuan untuk membolehkan pekerja gig yang berpengalaman mahupun graduan baharu yang menceburi bidang itu lebih memahami cara bekerja secara dalam talian.

“MDEC juga berharap kerajaan dapat menyediakan insentif percukaian bagi menggalakkan perniagaan tempatan mengguna pakai tenaga ‘digital freelancer’ dari dalam negara dan bukannya luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai harapan MDEC untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Okt.

Katanya, insentif kepada pengguna juga perlu diwujudkan bagi menggalakkan penggunaan platform tempatan seperti BungkusIt, MatDespatch, PantangPlus, MrWireman, GoCoach dan lain-lain.

Beliau berkata, MDEC melihat model ekonomi gig sebagai satu bentuk model yang membolehkan penyertaan rakyat secara inklusif dalam ekonomi digital selain menjadi penyumbang dan enjin baharu penjanaan ekonomi jika dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“MDEC juga ingin kerajaan menggiatkan lagi usaha yang kini dilaksanakan oleh pihak kami, terutamanya dari segi piawaian dan menentusahkan platform gig bagi memastikan individu yang ingin mengambil bahagian dalam model ekonomi ini terpelihara daripada penipuan pekerjaan.

“Ini termasuk memastikan semua platform yang ingin menawarkan perkhidmatan atau beroperasi di Malaysia perlu berdaftar dengan pihak kerajaan menerusi MDEC untuk ditentusahkan, terutamanya dari aspek pengurusan data peribadi,” katanya.

Redzuan berkata, kerajaan menerusi institusi kewangan juga boleh membantu perkembangan pekerja gig menerusi kaedah baharu untuk mengenal pasti skor kredit bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan mikro kredit untuk mengembangkan perniagaan.

MDEC ialah agensi yang bertanggungjawab melaksanakan beberapa program yang mempromosi dan menggalakkan penggunaan model ekonomi gig atau ekonomi perkongsian sejak 2015, seperti program eRezeki dan Global Online Workforce (GLOW).

Berdasarkan data pelaksanaan program, dianggarkan seramai 1.12 juta individu terlibat dalam model ekonomi gig, mengambil peluang untuk menjana pendapatan sama ada sebagai pendapatan tambahan atau pendapatan utama.

Redzuan berkata, berdasarkan data program MDEC sejak 2016 hingga Jun 2020, pendapatan sejumlah RM2.86 bilion telah diraih oleh pekerja gig.

Sehingga 2021, sebanyak 137 platform telah ditentusahkan dan menjadi rakan strategik program bawah MDEC dengan saiz pasaran keseluruhan bagi industri ini di Malaysia dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM1.61 bilion.

“MDEC menganggarkan pertumbuhan ekonomi gig, terutamanya dari aspek pertumbuhan platform tempatan akan terus berkembang daripada kira-kira RM371.4 juta pada 2021 kepada sekurang-kurangnya RM650 juta pada 2025,” kata Mohd Redzuan.

Sementara itu, Pengurus Negara Pickupp Navin Kandapper berkata, memandangkan ekonomi gig membolehkan orang ramai mempunyai peluang pendapatan berdasarkan ketersediaan dan pilihan peribadi mereka, pihaknya berharap Bajet 2023 akan mewujudkan kesedaran mengenai ekonomi gig sebagai peluang fleksibel yang membawa nilai kepada ekonomi secara keseluruhannya.

“Kami turut berharap kerajaan memberi lebih banyak sokongan dalam bentuk inisiatif seperti bengkel untuk pembangunan kemahiran yang berterusan,” katanya.

Menurut syarikat permulaan logistik teknologi itu, teknologi membantu menyediakan platform untuk mengurus dan menyokong ejen bebas dengan memberikan kesedaran pendapatan yang jelas, penjejakan produktiviti serta mengautomasikan pembayaran dan maklum balas.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Super App Amanda Woo berkata, kebajikan pekerja gig seperti menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadi semakin penting dan perlu diketengahkan dalam Bajet 2023.

Beliau berkata, itulah sebabnya AirAsia baru-baru ini mengumumkan pekerjaan sepenuh masa kepada semua pekerja gig, termasuk pemandu e-panggilan dan penunggang penghantaran.

Pekerja gig sepenuh masa Allstar akan menerima pendapatan asas (RM2,500), faedah petrol (RM1,000), kadar diskaun yang tinggi bagi penerbangan AirAsia dan perlindungan perubatan untuk diri dan keluarga, serta caruman KWSP oleh AirAsia dan perlindungan Perkeso.

“Terdapat 53,000 pemandu AirAsia berdaftar di Malaysia. Dengan pengumuman pekerjaan sepenuh masa baru-baru ini, kami menyasarkan untuk mempunyai lebih ramai pemandu Allstar sepenuh masa pada akhir tahun kewangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat berikutan semua sektor ekonomi telah dibuka semula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.